Jumaat, 11 Mei 2018 | 9:00pm
JAGUH pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan (dua dari kiri) sekadar menamatkan saingan di tempat kelima di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia. - Foto Hafiz Sohaimi

Khairul Hafiz kecundang

KUALA LUMPUR: Kejutan berlaku dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia apabila jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan gagal menamatkan cabaran di kedudukan podium. 

Ketika harapan untuk menyaksikan pelari yang dikenali sebagai 'Speedy Jantan' itu melakarkan satu lagi kejayaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, bagaimanapun ia tidak kesampaian.

Pelari berusia 20 tahun itu sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 10.64 saat (s), jauh dari rekod kebangsaan 10.18s yang dicatatnya di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016.

Emas dalam acara itu dimenangi pelari Sri Lanka, Vinoj Suranjaya De Silva 10.27s yang turut diiktiraf sebagai rekod baru kejohanan.

Perak milik Jonathan Nyepa yang mencatat masa 10.40s dan juara bertahan, Haiqal Hanafi sekadar meraih gangsa (10.58s).

Bagaimanapun menurut Khairul Hafiz, acara 100m yang berlangsung itu sepatutnya tidak diiktiraf apabila Vinoj yang berlari di lorong kelima dilihat terlebih dahulu keluar daripada blok pelepasan. 

"Saya tak puas hati dan geram. Acara akhir itu sepatutnya 'false start'. Pelari dilorong kelima itu keluar dulu dan saya ingat pengadil akan batalkan tapi ia diteruskan juga. 

"Nak buat macam mana, terpaksa terima. Ini satu pengalaman baru buat saya," katanya mengakui keadaan cuaca dengan keadaan trek basah serta acara akhir ditangguhkan selama lebih sejam sedikit menganggu konsentrasi pelumba. 

Khairul Hafiz bagaimanapun berpeluang menebus kekecewaan apabila turun beraksi dalam acara 200 m esok. Dia turut dijangka beraksi dalam acara 4x100m yang dijadualkan berlangsung pada hari Ahad. 

Sementara itu dalam pecut wanita, Zaidatul Husniah berjaya mengekalkan rentak konsisten apabila meraih emas.

Selepas cemerlang di temasya Komanwel apabila mara ke saingan separuh akhir, Zaidatul Husniah yang dikenali sebagai Adik itu merekodkan 11.65s untuk pingat emas. 

Dia menewaskan pelari Sri Lanka R M Rumeskhika Rathnayake di tempat kedua, 11.76s dan pingat gangsa milik S Komalam Shally, 11.91s.

Berita Harian X