Isnin, 21 Mei 2018 | 4:30pm
RATU pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli menjuarai acara pecut 100 meter wanita pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Hafiz Sohaimi

Husniah berdebar tunggu keputusan KOM

 

 KUALA LUMPUR: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli hanya mampu menunggu perkhabaran daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung penyertaan atlet ke temasya Sukan Asia Indonesia Ogos ini.

Menurut Husniah, dia dimaklumkan bahawa Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia akan menjadi penanda aras untuk KOM memilih atlet.

"Saya sendiri tidak tahu kedudukan saya ke Sukan Asia sama ada terpilih atau tidak," kata Husniah.

"Cuma KOM memaklumkan mereka akan melihat prestasi atlet di Terbuka Malaysia jadi saya tidak berani untuk memberi sebarang komen.

"Tapi jika ditanya mestilah saya mahu mewakili Malaysia ke Sukan Asia namun saya tunggu saja keputusan dari KOM."

Terdahulu pada aksi Terbuka Malaysia, Husniah berjaya merangkul kejayaan berganda apabila meraih emas dalam acara 100 dan 200 meter (m).

Dia berjaya merakam catatan masa terbaik peribadinya untuk tahun ini iaitu 11.65s dalam acara 100m manakala 24.02s dalam acara 200m.

Andai masa itu menjadi ukuran bermakna Husnia sudah melepasi syarat kelayakan kerana dia perlu melepasi catatan 11.68s - catatan masa kedudukan tempat keenam temasya lalu.

Pada temasya Komanwel Gold Coast pelari 24 tahun itu mencatat 11.84s di separuh akhir selepas melakukan 11.64s pada saringan pusingan pertama.

Di Gold Coast, Husniah yang mesra dipanggil 'Adik' mencipta kejutan apabila menjadi atlet pecut ketiga selepas Tan Sri Dr M Jegathesan dan G Shanti mara ke separuh akhir Sukan Komanwel, masing-masing pada 1966 dan 1998.

Bagaimanapun rekod kebangsaan masih menjadi milik Shanti dengan kepantasan 11.50s yang dilakukannya pada 1993.

Berita Harian X