Jumaat, 1 Jun 2018 | 8:41pm
KARIM (tengah) pada sidang media di Majlis Olimpik Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Olahraga: Tak jadi ke Eropah

KUALA LUMPUR: Kekangan peruntukan menyebabkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa membatalkan hasrat menghantar lima atlet kebangsaan menjalani latihan di benua Eropah.

Lima atlet yang disenaraikan sebelum ini adalah raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa, Nixson Kennedy serta Zaidatul Husniah.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim bagaimanapun menjelaskan jurulatih dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Dwayne I. Miller akan dibawa ke negara ini bagi melatih atlet sebagai persiapan ke Sukan Asia, di Jakarta dan Palembang, Ogos ini.

"Buat masa ini tumpuan kita adalah untuk Sukan Asia. Jadi kita hendak gunakan kepakaran jurulatih dari AS tetapi jika kita hantar atlet ke Eropah, ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

"Untuk mengurangkan perbelanjaan dan memberikan peluang kepada semua atlet, termasuklah yang bukan di dalam senarai ke Eropah, maka kita akan membawa beliau (Miller) ke Malaysia," kata Karim pada sidang media yang berlangsung di Majlis Olimpik Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, Karim berkata Miller akan diberikan kontrak selama dua bulan, iaitu hanya untuk Sukan Asia namun jurulatih itu perlu bersetuju sama ada hendak menerima tawaran berkenaan ataupun tidak.

Karim menjelaskan sekiranya Miller tetap mahukan atlet negara ke Eropah, bermakna KOM perlu mengadakan satu lagi perbincangan bersama MSN.

"Ini bermakna kita tidak mengetepikan atlet yang akan ke Sukan Asia malah kita sudah dedahkan banyak kejohanan sebelum ini termasuklah Terbuka Malaysia. Kita juga ada beberapa pertandingan lagi atas persetujuan MSN iaitu Terbuka Vietnam.

"Apabila jurulatih itu datang ke sini, semua atlet dapat berlatih dengannya termasuklah atlet yang fikir mereka mampu layak ke Sukan Asia seperti atlet acara 400m. Mereka juga ada peluang berlatih dengan Miller," kata Karim.

Dalam pada itu, Karim turut memberikan amaran bahawa atlet yang tidak berdisiplin dan gagal menunjukkan prestasi dan pencapaian yang baik dari semasa ke semasa mungkin digugurkan.

Untuk rekod, sebelum ini KOM memaklumkan terdapat enam siri latihan dan pertandingan dalam masa 60 hari di Eropah dan akan dikendalikan Miller.

25 dibaca
Berita Harian X