Selasa, 5 Jun 2018 | 3:55pm
RAYZAM Shah perlu mencatatkan masa 13.66 saat untuk layak secara merit ke Sukan Asia. - Foto Yazit Razali

Rayzam perlu 13.66s untuk tiket ke Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Hanya 0.01 memisahkan pelari 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian daripada disenaraikan ke Sukan Asia Indonesia-Palembang atas tiket kategori A yang ditanggung sepenuhnhya oleh Majlis Sukan Negara.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu perlu mencatatkan masa 13.66 saat (s) untuk layak secara merit dan masa yang dicatatkan oleh Rayzamsyah ketika melakarkan rekod baru kebangsaan tahun lalu di Weinheim Jerman ialah 13.67s.

Ia berikutan langkah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menetapkan syarat kelayakan baharu iaitu tempat keempat terbaik pada temasya yang lalu bagi atlet untuk layak secara merit.

Bagaimanapun pelari kelahiran Sabah itu berpeluang untuk mencatatkan masa lebih baik apabila dia yang kini berada di Jerman dijadualkan menyertai dua lagi kejohanan hingga minggu depan.

Ketua jurulatih olahraga, Zainal Abas ketika ditemui berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Rayzamsyah dan berharap atlet berusia 30 tahun itu menggunakan peluang sebaik mungkin di Jerman untuk memperbaiki masa yang dilakukan.

Dalam perkembangan yang sama Zainal memaklumkan bahawa seramai tujuh atlet disenaraikan untuk kategori A manakala lapan bagi kateogri B.

Atlet dibawah kategori A terdiri daripada tiga atlet di bawah Program Podium iaitu Hakimi Ismail (lompat kijang), Irfan Shamsuddin (lempar cakara), Nauraj Singh Randhawa, Lee Hup Wei (lompat tinggi), Luqman Hakim Ramlan (lompat jauh), Zaidatul Husniah Zulkifli (100m) dan Norliyana Kamaruddin (heptathlon).

"Pada temasya kali ini KOM mempertaruhkan Irfan Shamsuddin dan Hakimi Ismail untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat.

"Selain itu juga Nauraj dan Hup Wei juga mempunyai peluang yang sama sekiranya tiada apa-apa yang berlaku pada hari pertandingan," katanya.

Sementara itu Zainal turut memaklumkan bahawa raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan bersama kuartet 4x100m Jonathan Nyepa, Nixson Kennedy, Badrul Hisyam Abdul Manap Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail disenaraikan bagi kategori B.

Turut mengiringi barisan pelari pecut Iskandar Alwi (lompat bergalah) dan Jackie Wong (baling tukul besi).

Berita Harian X