Ahad, 15 Julai 2018 | 7:18pm
Bekas Raja Pecut Asean, Nazmizan Muhammad. - Foto Aswadi Alias

Nazmizan sokong Poad tinggalkan Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh pecut olahraga negara Nazmizan Muhammad menyifatkan tawaran yang diterima oleh jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim sebagai sesuatu yang tidak harus dilepaskan.

Poad dilaporkan mendapat tawaran dari negara jiran bagi mendapatkan khidmatnya sebagai jurulatih malah beberapa atlet pecut luar sebelum ini seperti dari Singapura dan Brunei turut meluahkan rasa gembira sekiranya dapat berlatih bersama jurulatih kelahiran Melaka itu.

Namun bagi Nazmizan beliau berharap Poad yang pernah mendidik Khairul Hafiz Jantan sehingga bergelar raja pecut Asia Tenggara bijak membuat keputusan kerana perlu memikirkan beberapa aspek lain sebelum mengambil sebarang keputusan.

Antara yang perlu diberi perhatian adalah kontrak yang ditawarkan serta tugas hakikinya sebagai guru yang terikat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Tidak dinafikan ia satu peluang yang baik. Tapi Poad perlu melihat dari segala sudut kelebihan yang akan diperolehnya kerana jika beliau menerima tawaran dari negara luar bermakna dia mungkin perlu melepaskan jawatan sebagai guru.

"Tapi pada masa sama tawaran itu juga tidak perlu dilepaskan kerana ia satu peluang terbaik apabila negara luar berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih tempatan.

"Biar apa pun keputusan yang akan dibuat, saya harap Poad tidak akan membuat keputusan terburu-buru," kata  raja pecut Asia Tenggara pada Sukan SEA Vietnam 2003.

Nazmizan yang kini menjadi pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, Poad memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk membentuk pelari terbaik.

"Itu yang saya maksudkan dengan kontrak. Poad perlu mengkajinya. Jika kontrak itu dua tahun mungkin sukar untuk melakukan impak.

"Kita ambil contoh Khairul Hafiz, berapa lama masa yang beliau perlu untuk membentuk Khairul Hafiz menjadi seorang pelari pecut seperti hari ini," katanya.

 

Berita Harian X