Khamis, 26 Julai 2018 | 6:13pm
ZAINAL Abas - Foto Osman Adnan

Malaysia berjaya ketepikan saingan Indonesia, Thailand

KUALA LUMPUR: Biarpun tidak meletakkan sasaran muncul juara keseluruhan pada Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) ke-10 yang berakhir semalam, kontinjen negara berjaya mengetepikan cabaran sengit negara jiran, Indonesia dan juga juara bertahan, Thailand bagi menjulang kejuaraan buat kali ketiga.

Selepas menjuarai pada temasya 2010 dan 2014, kontinjen negara merangkul 37 pingat emas, 34 perak dan 32 gangsa manakala Indonesia kedua dengan 31-36-30 diikuti Thailand dengan 19-21-31.

Skuad olahraga menjadi penyumbang terbesar kontinjen negara dengan 10 emas manakala gimrama dan skuasy masing-masing menyumbang enam kilauan pingat buat negara.

Menerusi 11 jenis sukan dipertandingkan, hanya sukan sepak takraw dan bola keranjang yang menyaksikan negara terlepas meraih emas.

Ketua kontinjen negara, Zainal Abas berkata sasaran awal diletakkan adalah 40 emas dengan tiga lagi emas terlepas kerana tuah tidak menyebelahi atlet negara.

"Saya cukup gembira dengan prestasi ditunjukkan 192 atlet negara yang sudah memberikan persembahan terbaik mereka dan bertanding sepenuh hati.

"Kita bagaimanapun tidak sangka menduduki tempat teratas, terutama dengan saingan Indonesia yang dilihat cukup bersedia untuk cuba muncul juara. Mungkin juga pencapaian ini menjadi rangsangan buat atlet menjelang Sukan Asia tidak lama lagi," katanya kepada NSTP di sini hari ini.

Indonesia mendominasi sukan renang apabila mengumpul emas terbanyak dengan 15 emas, 17 perak dan lapan gangsa manakala Malaysia sekadar membawa pulang lima emas, empat perak dan lapan gangsa.

"Kita dimaklumkan ada sebahagian perenang Indonesia yang ada di sini akan mewakili negara itu menyertai Sukan Asia. Jadi pasti saingan bakal sengit," kata Zainal.

Zainal berkata temasya tahunan itu adalah relevan dan sangat penting bagi atlet muda negara untuk menonjolkan diri dengan kejohanan berkenaan dijadikan batu loncatan ke peringkat yang lebih tinggi. 

Berita Harian X