Sabtu, 25 Ogos 2018 | 9:22pm
KHAIRUL Hafiz Jantan (kiri) menduduki tempat ketiga pada saingan 100m lelaki, Sukan Asia Jakarta Palembang di Stadium Gelora Bung Karno. - Foto FATHIL ASRI

Khairul Hafiz cuba kejar final

 

JAKARTA: Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa masing-masing melepasi halangan awal untuk mara ke separuh akhir acara 100 meter di Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Khairul melakukan 10.47s dalam saringan ketiga untuk kedudukan ketiga manakala Jonathan 10.43s untuk kedudukan kedua saringan keempat.

Kedua-dua wakil negara itu akan bersaing pada separuh akhir petang esok dengan acara final dijadualkan pada malamnya.

Bagi Khairul, dia tidak tertekan dalam menghadapi saingan Sukan Asia pertamanya kerana dia sememangnya tidak diberi sebarang tumpuan.

“Tadi saya cuba nak dapatkan rentak larian untuk ke separuh final, bagi saya larian tadi OK,” katanya selepas perlumbaan.

Ditanya mengenai catatannya yang jauh dari rekod kebangsaan 10.18s miliknya, Khairul berkata, dia tidak mengharapkan apa-apa selain cuba berlari dengan gembira.

“Tak apa jauh dari rekod, orang pun tak harap saya, saya hanya gembira berlari.

“Saya harap dapat lakukan yang terbaik di separuh akhir dan cuba kejar final,” katanya sambil menjelaskan dia perlu berlari sekitar 10.20s bagi menempatkan diri dalam kalangan lapan pelari terpantas Asia di final.

Sementara itu, dalam acara wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli turut mara ke separuh akhir apabila melakukan 11.59s.

Ia juga adalah catatan terbaik pelari Kedah itu sepanjang musim ini.

40 dibaca
Berita Harian X