Ahad, 26 Ogos 2018 | 11:02pm
PELARI pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli. - Foto fail NSTP

Cabaran Zaidatul berakhir

JAKARTA: Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli menamatkan saingan final 100 meter Sukan Asia di Stadium Utama Gelora Bung Karno di tempat kelapan sebentar tadi.

Zaidatul melakukan catatan 11.61 saat untuk tempat terakhir dengan emas diraih pelari Bahrain, Edidiong Odiong yang mencipta kepantasan 11.30s.

Zaidatul berkata, dia sudah melakukan yang terbaik buat negara dalam penyertaan Sukan Asia pertamanya.

"Semuanya berjalan dengan lancar malah sebelum larian juga saya amat yakin mampu memecut lebih pantas," katanya yang mencatat 11.70s pada separuh akhir.

Katanya, dapat beraksi dalam saingan akhir bersama bintang-bintang 100m Asia menjadi pengalaman paling indah buat dirinya.

Ini adalah kali pertama pelari kelahiran Kedah yang meraih perak masing-masing dalam acara 100m dan 200m di Sukan SEA Kuala Lumpur itu menyertai Sukan Asia.

"Selepas ini saya akan fokus untuk memastikan rentak larian saya sentiasa berada di tahap tertinggi," katanya.

Sementara itu, dua pelari pecut lelaki, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa masing-masing gagal melayakkan diri ke final acara 100m.

Catatan 10.45 saat yang dilakukan Khairul Hafiz dan 10.46s oleh Jonathan dalam aksi separuh akhir menyebabkan mereka gagal menempatkan diri dalam kalangan lapan terbaik.

Khairul Hafiz berkata, biarpun tidak melangkah ke saingan akhir, dia tetap gembira dengan pengalaman baharu beraksi buat kali pertama di Sukan Asia.

"Saya berpuas hati dengan larian hari ini dan tiada tekanan buat saya.

"Jurulatih juga tidak meletakkan sasaran ke atas saya," katanya.

Jelasnya, dalam penampilan pertama ini dia hanya cuba melakukan yang terbaik dan bergembira.

Berlari dengan ramai pakar pecut Asia di pentas tertinggi itu katanya, memberikannya serba sedikit panduan bagi memperbaiki lariannya.

"Manalah tahu selepas ini saya boleh layak ke final dan menang pingat pula," katanya.

Selain acara 100m, pemegang rekod kebangsaan itu turut akan beraksi dalam acara 4x100m pada Selasa.

Info
Rekod kebangsaan

100m lelaki:

- 10.18s - Khairul Hafiz Jantan - Sukan Malaysia 2016 di Sarawak.

100m wanita:

-11.50s - G Shanti - Kejohanan Pra-Sukan SEA pada 1993

Berita Harian X