Selasa, 18 September 2018 | 1:47pm
ATLET Perlis, Abdul Latif Romly memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh lelaki pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
ATLET Perlis, Abdul Latif Romly memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh lelaki pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Latiff masih sukar digugat

IPOH: Juara lompat jauh Paralimpik Rio 2016, Abdul Latiff Romly terpaksa mengerah segala keringat sebelum menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Perlis dalam acara olahraga yang berlangsung di Stadium Perak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini.

Biarpun hanya melakukan lompatan sejauh 7.46 meter (m), jauh daripada catatan terbaik peribadinya 7.85m yang dilakukan ketika Terbuka Kuala Lumpur, Ogos lalu, jarak itu sudah memadai untuk menobatkan Latiff sebagai pemenang, mempertahankan emas dimenanginya di SUKMA Sarawak, dua tahun lalu, dengan catatan yang sama. 

Atlet berusia 21 tahun itu menewaskan pencabar dari Sabah, Andre [email protected] yang melakukan 7.39m untuk perak manakala atlet Kedah, Muhamad Nazri Mustafa, 7.28m, gangsa.

Mengulas mengenai kejayaannya itu, Latiff mengakui dia tidak berpuas hati dengan lompatannya berikutan terpaksa berhati-hati dengan risiko kecederaan lebih serius jika dia terlalu memberi tekanan pada kaki kanannya yang mengalami kecederaan sebelum ini. 

"Ikutkan saya tidak puas hati dengan jarak ini. Saya agak kecewa juga sedikit sebab kalau boleh saya mahu memecahkan rekod kejohanan (7.55m) tapi nak buat macam mana sebab saya perlu berhati-hati. 

"Saya paksa diri saya untuk buat terbaik demi Perlis. Tambahan pula ini SUKMA. Alhamdulillah saya dapat juga emas biarpun jarak lompatan tidak begitu memuaskan," katanya yang mengalami kecederaan buku lali kanan minggu lalu.

Misi Latiff bagaimanapun masih belum selesai kerana dia akan berangkat ke Indonesia untuk menyertai Sukan Para Asia di Jakarta.

Dia yang akan berlepas ke Indonesia 2 Oktober depan, berkata sasarannya adalah untuk cuba mempertahankan emas dan memecahkan rekod Para Asia 7.01m. 

Berdasarkan prestasi di SUKMA, juara Paralimpik Rio itu dilihat tidak berdepan masalah merealisasikan impiannya itu dan seterusnya menyumbangkan emas buat negara, namun sekali lagi dia tidak berani memberi jaminan kerana apa saja boleh berlaku.

Berita Harian X