Selasa, 18 September 2018 | 8:12pm
REAKSI atlet Terengganu, Azreen Nabila Alias (dua dari kiri) memenangi acara 100 meter wanita pada SUKMA 2018 di Stadium Perak, Ipoh. - Foto ABDULLAH YUSOF
REAKSI atlet Terengganu, Azreen Nabila Alias (dua dari kiri) memenangi acara 100 meter wanita pada SUKMA 2018 di Stadium Perak, Ipoh. - Foto ABDULLAH YUSOF

Azreen lakar kejayaan berganda

IPOH: Pelari muda Terengganu, Azreen Nabila Alias melakar kejayaan berganda apabila muncul sebagai Ratu Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 selain mengukir nama selaku pemegang rekod baharu dalam acara 100 meter (m), hari ini.

Pelari muda itu memadamkan rekod berusia 10 tahun dalam acara itu dengan catatan 11.81 saat (s) sekali gus meleburkan rekod milik Siti Fatima Mohamad 11.82s yang dilakukannya ketika SUKMA Terengganu 2008. 

Atlet berusia 18 tahun itu menewaskan dua pelari Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas yang mencatat masa 12.17s dan Ikma Syaffiera Duris (12.28s).

Katanya, kehadiran ibunya, Khatijah Ali menyaksikan dia berlari menjadi suntikan tambahan buat dirinya untuk bergelar juara. 

"Saya bersyukur dengan kejayaan hari ini, apatah lagi, saya berjaya memperbaiki pencapaian dua tahun lalu apabila sekadar meraih perak.

"Saya sasar raih emas tapi tidak jangka dapat pecah rekod kejohanan," katanya.

Pernah terpilih untuk membarisi kuartet 4x100m negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan berlatih di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan M Balamurugan, Azreen berharap dapat mengekalkan rentak lariannya dalam acara 200m.

Berita Harian X