Khamis, 13 Disember 2018 | 5:47pm
GAMBAR fail atlet, Muhammad Hakimi Ismail (kanan) memeluk jurulatihnya, Victor Sotnikov selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara Lompat kijang pada kejohanan olahraga Terbuka Selangor di Stadium Universiti Malaya, tahun lalu. - Foto Osman Adnan

Pertimbang semula kontrak Sotnikov

 

KUALA LUMPUR: Atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mempertimbangkan semula kontrak jurulatihnya, Victor Sotnikov.

Ia kerana Sotnikov adalah individu penting yang menjadi nadi utama kebangkitannya dalam sukan itu sehingga membawanya ke peringkat tertinggi selain bergelar pemegang rekod kebangsaan acara berkenaan. 

Di bawah kendalian Sotnikov, Hakimi memecahkan rekod kebangsaan berusia 24 tahun milik Zaki Sadri 16.29 meter dengan lompatan 16.44m ketika temasya Sukan SEA Myanmar 2013. 

Pengumuman dilakukan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim nyata meresahkan atlet berusia 27 tahun itu apabila tidak mengekalkan dua jurulatih luar, Sotnikov dan Frank Petrovic, jurulatih lempar cakera yang membimbing Muhammad Irfan Shamsuddin. 

"Bagi saya Victor sudah menunjukkan prestasi terbaik. Jika dulu nak dapatkan atlet yang lompat 16 meter pun sukar tapi sekarang saya berjaya melakukan 16.77m.

"Atlet wanita kita juga berjaya cecah 13.90m sekarang. Prestasi kami semakin meningkat bukannya semakin jatuh. 

"Malah saya sendiri sedang berusaha untuk mencapai jarak 17m dan ia bukan satu yang mustahil dicapai jika saya terus diberi peluang bersama Victor," katanya. 

Hakimi berkata, andai pihak atas mempersoalkan ketiadaan atlet pelapis, ia bukan tanggungjawab Sotnikov dengan KOM dan MSN seharusnya turun ke padang mencari bakat di peringkat sekolah menengah.

"Saya rasa satu kerugian sangat besar sekiranya kehilangan Victor. Victor sudah tahu selok-belok keadaan di negara ini dan juga fasih berbahasa Melayu serta tahu budaya Malaysia. 

"Jika ambil jurulatih luar pasti mereka mahukan gaji tinggi dan kemungkinan sukar untuk datang ke sini melatih saya. Jika saya perlu ke luar negara ia akan meningkatkan kos latihan.

"Jadi saya berharap MSN dapat mempertimbangkan beberapa perkara kerana misi kita ke Sukan SEA tahun depan tidak harus dilupakan," katanya yang mula berlatih di bawah Sotnikov sejak 2009 dan sentiasa memperbaiki catatan terbaik peribadi. 

Terdahulu Karim memaklumkan dua jurulatih itu tidak lagi mendapat kepercayaan KOM selepas aksi hambar dalam dua temasya utama tahun ini.

Alasan utama Karim adalah kedua-dua jurulatih itu gagal melahirkan atlet berpotensi tinggi di peringkat Asia dan bukan sekadar di pentas Asia Tenggara biarpun sudah hampir 10 tahun di negara ini. 

364 dibaca
Berita Harian X