Rabu, 23 Januari 2019 | 4:39pm
Atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin ketika sidang media sebelum berlepas ke Eropah untuk menjalani latihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Apa salah saya?

KUALA LUMPUR: Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin menyifatkan dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menyebabkannya dikenakan tindakan atau hukuman.

Jelas atlet berusia 23 tahun itu, dia hanya seorang atlet biasa yang meluahkan perasaan di media sosial yang ditujukan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya beliau mengetahui apakah sebenarnya situasi yang berlaku ketika ini.

"Apa yang saya buat salah? Cuba beritahu saya.

"Adakah saya tak boleh luahkan perasaan saya di Instagram? Luahan dengan dakwaan adalah dua perkara berbeza.

"Dakwaan bermakna saya menuduh. Luahan pula saya bertanya kepada menteri kenapa semua ini berlaku dan apakah perancangan beliau seterusnya.

"Saya tak rasa ada melakukan kesalahan kerana saya adalah rakyat dan atlet yang hanya ingin tahu," katanya.

Irfan berlepas ke Prague, Republik Czech malam tadi untuk menjalani latihan selama tiga bulan di sana dengan menggunakan perbelanjaan sendiri yang dianggarkan melebihi RM100,000 selepas permohonannya tidak diluluskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Mengulas lanjut, Irfan berkata, dia tiada pilihan lain selain perlu menjalani latihan di luar kerana tidak mempunyai kelengkapan lengkap di sini.

"Untuk kelengkapan di MSN (Majlis Sukan Negara) Saya sudah minta bertahun-tahun sampai sekarang tak dapat

"Mungkin saya kena jadi pemenang di Sukan Olimpik baru dapat," katanya.

Ketika ditanya berhubung pertemuannya dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim minggu lalu, Irfan berkata ia hanyalah pertemuan biasa.

"Tunku menjemput saya hadir ke Johor untuk mengadap. Bagi saya itu satu penghormatan.”

Ditanya adakah pertemuan itu ada membincangkan soal penajaan, Irfan enggan mengulas lanjut.

"Setakat ini saya tak boleh komen apa-apa," katanya.

Irfan sebelum ini meluahkan perasaan di akaun media sosial miliknya, memohon penjelasan daripada Syed Saddiq selepas kurang senang dengan beberapa isu membabitkan dirinya termasuk penamatan khidmat jurulatihnya Frantisek Petrovic dan perancangan untuknya berlatih di luar negara tidak diluluskan.

1822 dibaca
Berita Harian X