Rabu, 23 Januari 2019 | 5:10pm
Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KOM belum putuskan nasib Irfan

KUALA LUMPUR: Nasib atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin yang berdegil berlatih ke luar negara tanpa kelulusan hanya akan diputuskan oleh mesyuarat ahli lembaga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata, sama ada badan induk itu akan mengambil tindakan menggantung Irfan atau membayar semula kos latihannya hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan dalam masa terdekat.

Karim ketika dihubungi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan membayar semula kos yang dikeluarkan oleh atlet berusia 23 tahun yang tetap dengan pendiriannya ke Prague, Republik Czech untuk menjalani latihan selama 85 hari itu.

Karim bagaimanapun berkata jika atlet itu mendapat tajaan, perkara itu perlu dimaklumkan kepada KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tindakan selanjutnya.

"Memandangkan peruntukan yang disalurkan oleh MSN adalah duit rakyat dan jika dia sudah mendapat penajaan, dia perlu memaklumkan kepada MSN dan KOM.

"Ini kerana peruntukan itu boleh digunakan untuk atlet lain yang juga mempunyai cita-cita beraksi di pentas Olimpik," katanya.

Irfan berlepas ke Prague malam tadi untuk menjalani latihan selama tiga bulan di bawah bimbingan Imrich Bugar dengan menggunakan perbelanjaan sendiri yang dianggarkan melebihi RM100,000 selepas permohonannya ditolak MSN sebelum ini.

Irfan mendakwa permohonannya untuk berlatih di Eropah ditolak oleh MSN atas alasan cuaca sejuk yang tidak sesuai buat atlet menjalani sesi latihan.

Irfan sebelum ini meluahkan perasaan di akaun media sosial miliknya, memohon penjelasan daripada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas kurang senang dengan beberapa isu membabitkan dirinya termasuk penamatan khidmat Frantisek Petrovic dan perancangan untuknya berlatih di luar negara tidak diluluskan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika diminta mengulas mengenai kedegilan Irfan berkata, pihaknya akan menunggu cadangan yang akan dibentangkan oleh KOM untuk tindakan lanjut.

 

 

Berita Harian X