Sabtu, 26 Januari 2019 | 6:06pm
Jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Poad tunggu percaturan MSN

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perancangan khusus buat barisan atlet pecut negara menghadapi 2019 biarpun bakal menempuh cabaran penuh berliku.

Jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim ketika dihubungi berkata, beliau kini hanya menunggu perancangan diaturkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Poad berkata, hajatnya sudah disampaikan kepada MSN dan kini hanya menunggu pelepasan daripada mereka. 

"Buat ketika ini kesemua atlet di bawah bimbingan saya berlatih seperti biasa di SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail).

"Jika boleh memang ingin berlatih di luar negara dan lokasi pilihan pastinya Amerika Syarikat. Bagaimanapun kami perlu menunggu hingga perkara itu diluluskan.

"Saya harap jika peluang untuk ke luar negara tipis, mungkin boleh dipertimbangkan untuk menyertai kejohanan di Asia Tenggara bagi menggilap rentak larian pelari pecut di bawah bimbingan saya," katanya. 

Kata Poad, tiada perancangan khusus diaturkan buat jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan dalam usahanya mempertahankan emas di Sukan SEA 2019 Filipina nanti. 

Bagaimanapun, Poad berkata, beliau tidak boleh berpeluk tubuh dan latihan akan tetap diteruskan seperti biasa.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru raja pecut Asia Tenggara itu, Poad berkata latihan kini sudah melepasi fasa satu. 

"Jika dilihat dalam latihan Khairul memang ok dan tiada masalah. Namun semuanya hanya dapat dinilai di kejohanan pertama yang akan disertainya nanti," katanya. 

Cabaran Khairul Hafiz untuk mempertahankan emas di Sukan SEA kali ini agak getir apabila dia perlu berdepan juara remaja dunia dari Indonesia Lalu Muhammad Zohri yang mencatat masa 10.18 saat (s).

Manakala pencapaian terbaik pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100m tahun itu adalah 10.28s yang dilakukan ketika Kejohanan Kebangsaan Besigheim, Jerman Julai tahun lalu.

Berita Harian X