Isnin, 18 Februari 2019 | 6:20pm
Abdul Latif Romly. - Foto Yazit Razali

Latif azam pecah rekod dunia

KUALA LUMPUR: Meskipun sering kali diangkat selaku juara dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, Abdul Latif Romly tetap mahu mencipta lebih banyak kejayaan.

Latif menjelaskan, antara matlamatnya musim ini adalah untuk mempertahankan pingat emas diraih di Kejohanan Olahraga Para Dunia, London pada 2017 ketika kejohanan sama bakal berlangsung di Dubai, November ini.

Selain itu, atlet kelahiran Perlis itu juga berhasrat memecahkan rekod dunia miliknya iaitu 7.64 meter (m) dicipta di Sukan Para Asia, Indonesia tahun lalu.

"Musim ini saya mempunyai dua kejohanan penting iaitu Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada November ini dan Sukan Para ASEAN di Filipina.

"Saya harap sewaktu di Dubai nanti, saya dapat mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu di London. Ketika itu saya mencatat lompatan sejauh 7.37m ... Kalau boleh saya juga mahu memecahkan rekod dunia (7.64m)," kata Latif.

Latif yang ketika ini masih dalam fasa persiapan fizikal juga berhasrat agar dapat melayakkan diri untuk menyertai Sukan SEA di Filipina bersama atlet normal yang dijadual berlangsung pada November ini.

Bagaimanapun atlet berusia 22 tahun ini menjelaskan dia perlu melepasi tahap kelayakan terlebih dulu, justeru perlu menampilkan aksi terbaik di mana-mana kejohanan terbuka selepas ini.

"Saya kena lihat dulu macam mana prestasi diri sebelum fikirkan mengenai Sukan SEA Filipina kerana buat masa ini belum ada lagi kejohanan," kata Latif yang gagal menyerlah di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 lalu gara-gara keracunan makanan.

786 dibaca
Berita Harian X