Khamis, 21 Februari 2019 | 10:15am
NOAH Lyles. - Foto Reuters

Lyles tumpu acara pecut 200m

CLERMONT, Florida: Pelari pecut Amerika Syarikat, Noah Lyles menggugurkan perancangan untuk menyertai dua larian acara pecut pada Kejuaraan Dunia di Doha, September ini dan hanya akan memberi tumpuan kepada acara 200 meter. 

Sebelum ini, Lyles sering menyatakan hasrat untuk meraih dua pingat emas dalam acara 100 dan 200m pada penyertaan sulungnya di kejuaraan dunia.

 

Namun keutamaannya kini disandarkan kepada acara terbaiknya, kata juara dua kali dalam acara 200m di kejohanan Diamond League itu dalam satu temubual. 

"Jurulatih saya percaya yang saya harus meraih emas pertama saya (di kejuaraan dunia) sebelum menyertai Sukan Olimpik dan cuba menggandakannya (pingat emas)," kata Lyles. 

"Saya bersetuju dengannya. Sekiranya saya ke final, saya tahu yang saya boleh memenangi (acara) 200."

Bagaimanapuan, pelari berusia 21 tahun itu masih membuka ruang untuk dirinya cuba mendapatkan gelaran berganda. 

"Sekiranya sesuatu berlaku dan kami melakukannya dengan betul dan latihan membuktikan yang saya boleh beraksi dengan baik dalam enam pusingan (masing-masing tiga dalam acara 100 dan 200m), maka mungkin kami boleh," kata Lyles. 

"Namun, buat masa sekarang, 200m adalah sasaran utama."

Keputusan akhir itu dijangka dimuktamadkan sebelum saringan buat Amerika Syarikat pada hujung Julai ini, kata jurulatihnya, Lance Brauman. 

Lyles tidak pernah ditewaskan dalam acara 200m sejak 2016 namun masih banyak latihan perlu dipergiatkan lagi dalam acara 100m, terutamanya pada permulaan lariannya di mana Christian Coleman dan Ronnie Baker adalah pelari terpantas untuk negara itu. - Reuters

425 dibaca
Berita Harian X