Ahad, 24 Februari 2019 | 10:18pm
Nurul Wardatul (kiri) yang mewakili Terengganu ketika beraksi dalam acara 200m wanita pada Kejohanan Olahraga Perak All-comers di Stadium Perak hari ini. - Foto BERNAMA

Nurul Wardatul kuasai 200m Perak All-Comers

IPOH: Atlet muda negara, Nurul Wardatul Huwaida Hamka bangkit daripada kecederaan hamstring untuk mengungguli acara 200 meter wanita pada hari terakhir Kejohanan Olahraga Perak All-Comers di Stadium Perak, di sini, hari ini.

Meskipun baru pulih daripada kecederaan dialaminya dua minggu lalu, atlet kelahiran Kuala Nerus, Terengganu itu menunjukkan prestasi cemerlang apabila mencatat masa 26.27 saat (s), sekali gus menewaskan rakan sepasukan, Siti Zulaikha Ramli (26.35s) yang meraih pingat perak.

Nurul Wardatul Huwaida, 16, yang mewakili Terengganu pada kejohanan itu, berkata dia terpaksa berusaha keras bagi memastikan kecederaan dialami tidak mengganggu fokusnya sehingga berjaya memperoleh pingat pertamanya tahun ini.

“Saya cuma sedikit sedih kerana gagal memecahkan rekod peribadi 25.95s. Mungkin faktor cuaca atau saya masih lagi risau dengan kecederaan yang baru sahaja sembuh.

“Saya menganggap kejohanan ini sebagai pentas pemanas badan selepas kecederaan dan akan bekerja keras untuk mencatat masa lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan di Stadium Perak, di sini, hari ini.


Nurul Wardatul (tengah) menunjukkan pingat emas selepas mengungguli acara 200m dengan mencatat masa 26.27 saat pada Kejohanan Olahraga Perak All-Comers di Stadium Perak hari ini. Pemenang pingat perak rakan sepasukannya, Siti Zulaikha Ramli (kanan) dengan catatan 26.35 saat manakala pingat gangsa diperoleh atlet SSTMI, Sharifah Amesha Syed Yazid (kiri) yang mencatat masa 26.94 saat. - Foto BERNAMA

Nurul Wardatul Huwaida turut berharap tersenarai mewakili kontinjen negara pada temasya Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Indonesia, Julai ini.

“Selepas ini, saya akan meneruskan momentum di Kejohanan Majlis Sukan Terengganu yang akan berlangsung tidak lama lagi dan berharap banyak pihak dapat menilai kemampuan saya untuk mewakili negara pada tahun ini,” katanya.

Pingat gangsa acara tersebut menjadi milik atlet Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sharifah Amesha Syed Yazid yang mencatat masa 26.94s.

Bagi kategori lelaki acara berkenaan, Muhammad Haiqal Hanafi dari SSTMI mengutip pingat emas dengan catatan 21.72s menewaskan dua rakan sepasukannya, Muhammad Zulfiqar Ismail (21.97s) dan Muhammad Aiedel Sa’adon (22.42s), masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Muhammad Haiqal yang juga atlet kebangsaan berkata kemenangannya pada kejohanan kali ini menjadi pembakar semangat untuk meraih lebih banyak pingat emas dalam pelbagai kejohanan akan datang.

“Ini kejohanan pertama tahun ini dan saya akan cuba perbaiki kelemahan kerana bakal mewakili negara pada Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan. Saya mahu menghadiahkan pingat emas buat negara,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Bagi kategori wanita acara 800m, pingat emas diraih atlet Johor, J Padhmaloshini (2: 28.32s) manakala perak dimenangi atlet SSTMI, Noor Ainaa Balqis Hashim (2:30.00) manakala V. Shakari dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor di tempat ketiga dengan catatan 2:32.56s.

Kategori lelaki acara itu menyaksikan Anas Ariffin dari Kelantan meraih pingat emas dengan catatan 1:59.81s, manakala pingat perak dimenangi rakan sepasukannya Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (1:59.86s) sementara pingat gangsa diraih M. Avinesh Austin dari MSN Selangor (2:01.14s). - BERNAMA

543 dibaca
Berita Harian X