Selasa, 26 Februari 2019 | 8:44pm
Atlet Para Negara, Afiq Ali Hanafiah. - Foto Saifullizan Tamadi

Bagus layak awal

 

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut para negara, Afiq Ali Hanafiah kini boleh memberikan tumpuan dan latihan lebih awal menjelang Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, November ini.

Ini satu kelebihan buat Afiq kerana dia sudah layak ke kejohanan utama itu selepas melakar kepantasan 11.48 saat (s) ketika menjuarai acara T11/12 (masalah penglihatan) di Kejohanan Olahraga Para Dunia, Grand Prix (GP) Dubai di Emiriah Arab Bersatu, semalam.

GP Dubai adalah antara beberapa siri kejohanan bermula Februari hingga Ogos sebelum kejohanan dunia berlangsung pada November ini.

Pada kejohanan terbabit, atlet mempunyai peluang mencari slot ke kejohanan dunia November ini, dengan had kelayakan ditetapkan adalah 11.50s untuk acara T11/12.

Ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, R Jeganathan berkata, kepantasan dicatat Afiq di GP Dubai membolehkan dia melepasi sasaran ditetapkan sebelum ini, iaitu larian di bawah catatan 11.50s.

"Catatan Afiq layak untuk menyertai Kejohanan Dunia pada November ini kerana masa yang ditetapkan adalah 11.50s. Atlet boleh cari catatan masa dalam beberapa GP dan Afiq berjaya lakukan di siri pertama.

"Bila dia layak lebih awal, senang untuk saya dan kita akan berikan tumpuan serta persiapkannya untuk kejohanan pada November nanti. Afiq juga tak perlu terlalu berhempas pulas pada GP seterusnya walaupun ini barulah permulaan," kata Jeganathan.

Mengulas lanjut, Jeganathan berkata untuk kejohanan dunia nanti dia meletakkan sasaran agar atlet berusia  25 tahun itu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dunia.

Ia bagi memudahkan laluan buat Afiq layak menyertai temasya Sukan Paralimpik di Tokyo pada 2020.

 

 

571 dibaca
Berita Harian X