Selasa, 26 Februari 2019 | 11:36pm
Umi Syuhadah Idris meraih gangsa di Kejohanan Olahraga Para Dunia, Grand Prix (GP) Dubai 2019. - Foto Facebook Team Malaysia

Umi raih gangsa di Dubai

 

KUALA LUMPUR: Umi Syuhadah Idris memastikan penyertaan di Kejohanan Olahraga Para Dunia, Grand Prix (GP) Dubai 2019 tidak sia-sia apabila meraih gangsa acara lontar peluru F35-37 wanita, hari ini.

Pada kejohanan ini, Umi membuat balingan sejauh 8.12 meter (m) dan catatan itu diperoleh menerusi percubaan kedua, bagi memastikan dirinya berada dalam senarai pemenang pingat.

Emas dimenangi Birgit Kober dari Jerman dengan balingan 11.32m sementara perak milik Eva Datinska dari Republik Czech (11.06m).

Kejayaan dan berita baik dilakar Umi itu dikongsi di laman facebook Team Malaysia, hari ini.

“Kali ini giliran atlet para olahraga Malaysia, Umi Syuhadah Idris meraih pingat gangsa 11th Fazza International World Para Athletics Grand Prix, Dubai bagi acara Women’s Shot Put F35-37 dengan lontaran sejauh 8.12m,” kata kenyataan berkenaan.

Sebagai rekod, Umi adalah atlet yang tidak ketinggalan menjadi penyumbang pingat emas negara ketika temasya Sukan Para ASEAN 2017.

Pada temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Umi menghadiahkan pingat emas apabilamelakukan lontaran sejauh 7.92m dalam acara lontar peluru wanita F37 (cerebral palsy).

611 dibaca
Berita Harian X