Selasa, 12 March 2019 | 1:58pm
FILE PHOTO: A view shows the logo at the The International Association of Athletics Federations (IAAF) headquarters in Monaco, January 14, 2016. REUTERS/Eric Gaillard/File Photo

IAAF kekal gantung atlet Russia

DOHA: Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) berkata badan itu mengekalkan penggantungan atlet Russia yang dikuatkuasa pada 2015, susulan mesyuarat majlis pegawai tertinggi mereka di Qatar.

Ketua pasukan siasatan khas IAAF, Rune Andersen berkata dua isu masih belum diselesaikan – pemeriksaan terhadap data yang diterima daripada makmal anti-doping Moscow dan isu kos yang belum diselesaikan Russia berhubung skandal itu.

“Dua isu ini kekal belum diselesaikan. Perkara ini perlu diselesaikan,” kata Andersen dalam satu sidang media di Doha.

Beliau berkata jawatankuasa yang diketuainya itu sedang menyiasat dakwaan jurulatih atlet Russia yang masih terbabit dalam sukan itu sambil mengakui ‘ia dipercayai positif dari Moscow’.

Ditanya jika lanjutan penggantungan bermakna atlet Russia tidak dapat bertanding di bawah bendera negara itu di Kejohanan Dunia di Doha pada September dan Oktober, Andersen berkata masih ada masa untuk melakukan rombakan namun ada syarat ‘yang perlu dipenuhi’ Russia.

Presiden IAAF, Sebastian Coe bagaimanapun enggan mengulas terhadap peluang Russia dengan berkata beliau tidak mahu “membuat spekulasi” terhadap peluang negara itu.

“Kita lihat macam mana proses ini berlaku dan selepas itu kita lakukan perubahan apabila kita perlukan,” kata Coe. - AFP 

207 dibaca
Berita Harian X