Rabu, 13 March 2019 | 1:37pm
Haile Gebrselassie membidas langkah terbaru IAAF yang mengurangkan bilangan acara dalam Kejohanan Liga Berlian dan memansuhkan beberapa acara larian jarak jauh. - Foto fail Reuters

Gebrselassie bidas IAAF mansuh acara jarak jauh

ADDIS ABABA, Ethiopia: Jaguh larian jarak jauh dunia, Haile Gebrselassie membidas langkah terbaru Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang mengurangkan bilangan acara dalam Kejohanan Liga Berlian dan memansuhkan beberapa acara larian jarak jauh dengan menyifatkan perubahan itu membunuh atlet Ethiopia dan Kenya yang selama ini menguasai acara berkenaan.

IAAF membuat keputusan itu selepas ahli majlisnya mencapai kata sepakat dalam mesyuarat di Doha Isnin lalu dengan matlamat utama membantu negara tuan rumah memendekkan jumlah hari pertandingan dan hanya mengutamakan acara yang cepat tamat.

Dengan keputusan itu, bermakna bilangan Liga Berlian IAAF akan menjadi 12 siri berbanding 14 siri manakala jumlah acara bagi kategori lelaki dan wanita juga masing-masing dikurangkan kepada 24 acara berbanding 32 acara sebelum ini.

Namun Haile menganggapnya tidak adil bagi negaranya yang selama ini menguasai acara 5,000 dan 10,000 meter peringkat dunia.

"Ia keputusan yang menyedihkan dan pastinya memberi kesan ke atas atlet Ethiopia dan Kenya, juga keseluruhan atlet dari negara Afrika Timur keseluruhannya,” katanya.

"Beberapa negara Asia lain juga cemerlang dalam acara jarak sederhana dan jarak jauh. Amat malang ketika badan dunia giat menyemarakkan perkembangan sukan olahraga di seluruh dunia, tetapi secara tiba-tiba mereka membuat keputusan tidak adil seperti itu.”

Liga Berlian adalah kejohanan olahraga terbesar di luar musim Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia dengan Zurich dan Brussels masing-masing menganjurkan separuh daripada bilangan keseluruhan kejohanan berkenaan.

"Prestij (Liga Berlian) juga akan terjejas. Acara larian jarak sederhana dan jarak jauh sebahagian tarikan ketika zaman saya, Kenenisa dan yang lain-lain yang bersaing. Ia akan mengurangkan penonton yang mahu menyaksikan persembahan atlet terbaik dunia bagi acara itu,” katanya. – Reuters

380 dibaca
Berita Harian X