Rabu, 20 March 2019 | 8:54am
Valentin Balakhnichev mengibarkan bendera IAAF pada majlis penyerahan di hari terakhir kejohanan di Daegu, Korea Selatan, September 2011. - Foto fail Reuters

Perancis buru dua bekas pegawai olahraga Russia

PARIS: Hakim Perancis mengeluarkan waran tangkap antarabangsa ke atas dua bekas pegawai olahraga Russia dalam siasatan terhadap dakwaan melindungi kes doping.

Dua pegawai terbabit adalah bekas presiden Persekutuan Olahraga Russia, Valentin Balakhnichev dan bekas ketua jurulatih Alexei Melnikov.

Kedua-dua mereka digantung seumur hidup pada Januari 2016, dua bulan selepas Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) mengeluarkan laporan mengandungi bukti kes doping yang dilindungi kerajaan dalam olahraga Russia.

Laporan itu turut menyebabkan penggantungan Persekutuan Olahraga Russia, yang kekal hingga ke hari ini.

Balakhnichev yang juga bendahari badan olahraga IAAF dari tahun 2011 hingga 2014, memberitahu Reuters yang dia tidak dimaklumkan tentang keputusan penguatkuasa di Perancis itu. Melnikov pula tidak menjawab panggilan yang dilakukan beberapa kali.

Kes yang berlaku di Perancis bermula pada November 2015 lagi di mana bekas ketua IAAF, Lamine Diack disiasat berikutan keraguan terhadap rasuah dan juga penggubahan wang haram. Dia dituduh menerima rasuah bagi melindungi kesalahan doping atlet Russia.

602 dibaca
Berita Harian X