Ahad, 24 March 2019 | 8:50pm
RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan (kanan) meraikan kejayaan bersama jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim. - Foto Luqman Hakim Zubir.

'Jangan perap Khairul Hafiz'

KUALA LUMPUR: Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan perlu mendapat pendedahan menjalani latihan dan pertandingan di luar negara bagi mengelakkan nama pelari itu terus hilang dari radar.

Jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim mengakui dia kecewa apabila hasratnya membawa Khairul Hafiz ke Amerika Syarikat (AS) untuk jangka masa panjang, sehingga kini tidak kesampaian.

Ia disebabkan pihaknya tidak mendapat mana-mana penajaan dan seolah-olah diabaikan sejak tahun 2016 lagi, berbanding atlet lain yang sudah memulakan musim ini di pentas antarabangsa.

"Tahun ini kita hanya sasarkan Khairul Hafiz layak ke Sukan SEA Manila saja. Bukan apa, sudah lama kita terperap di Malaysia, tidak ada pihak mahu menaja, nak menghantar kami ke luar negara,” kata Poad.

"Saya mahu hantar Khairul Hafiz berlatih di AS kerana di sana dia akan mendapat saingan serta latihan yang lebih baik. Yang penting kena hantar di ke luar negara, mana-mana akademi, itu saja caranya."

Mengulas mengenai rekod kebangsaan Khairul Hafiz yang sekadar bertahan selama dua tahun selepas diatasi Russel Alexander Nasir Taib, Poad menjelaskan ia adalah satu persaingan sihat.

Poad tidak menolak kemungkinan bahawa Russel yang berpangkalan di Australia memiliki kemudahan yang lebih baik dari semua sudut.

"Saya tak rasa ralat tapi baguslah ada persaingan sihat. Mungkin di sana (Australia) kemudahan berbeza berbanding kami di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

"Sains sukan kita tidak sehebat Russel dan sejak tahun 2016 kita memohon kemudahan gym, peralatan tetapi masih tidak ada maklum balas. Jadi kemudahan di SSTMI sehingga kini tak lengkap," katanya.

Poad turut mendedahkan yang Khairul Hafiz tidak dapat beraksi sehingga April ini kerana masalah kesihatan, namun keadaan atlet itu sudah hampir pulih.

Khairul Hafiz juga bakal terlepas beberapa kejohanan antaranya Grand Prix (GP) Malaysia minggu ini dan Kejohanan Olahraga Asia di Doha pada April.

 

 

2036 dibaca
Berita Harian X