Khamis, 4 April 2019 | 1:56pm
Lee Hup Wei. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Hup Wei azam lepasi catatan 2.30 meter

KUALA LUMPUR: Melepasi ketinggian 2.30 meter (m) antara perkara yang perlu dilakukan Lee Hup Wei jika mahu layak ke Kejohanan Olahraga Dunia 2019 di Doha, Qatar yang dijadual berlangsung pada 27 September hingga 6 Oktober depan.

Justeru, Hup Wei menjelaskan dia meletakkan sasaran untuk melepasi ketinggian berkenaan pada Kejohanan Olahraga Asia ke-23 di Stadium Khalifa, Doha, Qatar pada hujung bulan ini (21 hingga 24 April).

"Saya perlu berikan tumpuan ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia kerana ingin dapatkan ketinggian 2.30m supaya dapat layak ke Kejohanan Olahraga Dunia.

"Kalau layak, ini kali pertama saya beraksi kerana dua tahun lalu saya baru saja pulih daripada kecederaan. Saya mahu layak secara merit kerana tiket wild card adalah lebih kepada acara trek," kata Hup Wei yang kini dikendalikan jurulatih dari Uzbekistan, Aleksandr Gasparyan.

Ketika kejohanan olahraga Grand Prix Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu, Hup Wei sudah hampir melakarkan catatan 2.30m, yang juga menyamai rekod kebangsaan.

Hup Wei hanya melakukan dua kali percubaan namun gagal melepasi catatan berkenaan tetapi menamatkan saingan dengan ketinggian 2.27m untuk memenangi pingat emas.

"Ketika di Terbuka Malaysia saya tak mahu teruskan percubaan kerana saya hanya ingin mencuba dan mendapatkan rentak," kata Hup Wei yang memiliki pencapaian peribadi terbaik iaitu 2.28m.

Dua tahun lalu, rakan senegara, Nauraj Singh Randhawa, layak menyertai Kejohanan Dunia di London selepas memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 2.30 meter ketika menjuarai Terbuka Singapura.

Berita Harian X