Rabu, 24 April 2019 | 5:41pm
MUHAMMAD Irfan Shamsuddin

Kegagalan Irfan beri reputasi buruk - Nazmizan

 

KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan kontroversi awal tahun lalu, Muhammad Irfan Shamsuddin sepatutnya membuktikan betapa dia antara yang terbaik di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) dekat Doha, Qatar.

Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nazmizan Muhammad menyifatkan keputusan dicapai Irfan di ATF memberikan reputasi buruk kepada atlet berkenaan.

Malah atlet lempar cakera itu sepatutnya mengekalkan pencapaian pingat perak seperti edisi sama dua tahun lalu di India, ataupun menamatkan saingan dalam kedudukan pingat.

"Sepatutnya di ATF Irfan membuktikan apa yang diperkatakannya seperti mana dia bermati-matian hendak menjalani latihan di luar negara.

"Tapi, bila dia hanya dapat tempat kesembilan, ia memberikan reputasi buruk kepada dirinya kerana kejohanan ini bertaraf tinggi, membabitkan seluruh Asia. Dia juga tak boleh beri alasan kecederaan.

"Irfan patut buktikan apa yang diperkatakannya dan perkara yang dipertikaikannya. Dia patut sedar dan tampil dengan prestasi agar dapat kekalkan pingat perak seperti di India," kata Nazmizan.

Mengulas lanjut, lagenda pecut itu menegaskan Irfan mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuannya menjelang Kejohanan Olahraga Dunia di Doha, Qatar pada September ini.

Selain itu, Nazmizan berkata Irfan juga boleh membuktikan kebolehannya dengan memenangi pingat emas di temasya Sukan SEA di Filipina nanti.

Untuk rekod, Irfan hanya membuat tiga balingan dengan jarak paling jauh adalah 55.18 meter (m), berbanding 60.96m ketika dilakukan di India untuk memenangi pingat perak.

Balingan itu sekadar menempatkan Irfan di kedudukan kesembilan kerana hanya lapan atlet terbaik dibenarkan membuat enam lontaran penuh untuk perebutan pingat.

721 dibaca
Berita Harian X