Rabu, 24 April 2019 | 7:24pm
MUHAMMAD Azeem Mohd Fahmi. - Foto ihsan FB Kejohanan Olahraga MSSM 2019

Azeem menang acara 200m, pecah rekod MSSM

 

KUALA LUMPUR: Atlet Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mencuri tumpuan apabila memenangi acara 200 meter (m) kategori lelaki Bawah 15 (B15), hari ini.

Azeem mencatat kepantasan 21.24 saat dalam acara berkenaan ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-61 di Johor.

Pelari berusia 15 tahun itu turut memecahkan rekod kejohanan miliknya sendiri iaitu 21.89s dicipta pada MSSM 2018.

Pingat perak menjadi milik Jad Rizalman Washif dari Sabah dengan catatan masa 22.66s sementara gangsa milik atlet Sarawak, Audray Maschaquille Hillary Jugah (22.71s).

Sebelum ini, Azeem juga unggul dalam acara pecut 100m apabila mencatat 10.63s dalam saingan B-15 untuk meraih emas selain memperbaharui rekod kejohanan milik sendiri (10.72s) dicatatkan di Selangor, tahun lalu.

Selain itu, Azeem juga mencuri tumpuan apabila turut memecahkan rekod kejohanan serta memenangi emas menerusi acara lompat jauh lelaki.

Dia melakukan lompatan sejauh 6.93m sekali gus memadam rekod MSSM 2018 dicipta Shareem Aleimran Abdul Raheem yang mewakili Selangor dengan jarak 6.89m.

Berita Harian X