Jumaat, 26 April 2019 | 10:14pm
AKSI Muhammad Azeem Mohd Fahmi ketika raih pingat emas acara 200m Olahraga MSSM.

Azeem berdisplin, patuh arahan jurulatih

 

KUALA LUMPUR: Disiplin yang ada dalam diri Muhammad Azeem Mohd Fahmi menjadi antara sebab kenapa dia boleh ‘meletup’ dalam olahraga.

Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, Azeem juga antara seorang atlet yang patuh kepada arahan diberikan.

"Azeem menjalani latihan setiap hari, kira-kira seminggu sebanyak tujuh sesi. Dia juga sangat berdisiplin, patuh dan akur pada nasihat jurulatih. 

"Dia tidak terikut-ikut budaya remaja pada masa kini, malah tahu batas-batas pergaulan," kata Amir yang turut mengakui bakat serta saiz milik Azeem turut membantu prestasinya ketika ini.

Mengulas lanjut, Amir berkata Azeem yang kini berusia 15 tahun turut menjaga pemakanan selain seorang yang berbakat besar.

Dalam pada itu, jurulatih berkenaan berharap Azeem terpilih beraksi di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN 2019 di Semarang, Indonesia pada Julai ini.

"Kita sasarkan selepas sambutan Aidifitri, dia dapat beraksi di Semarang, Indonesia," katanya.

Amir juga mengakui dia tidak akan memberikan tekanan buat Azeem termasuklah memecahkan rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan dalam acara pecut 100 meter (m) dalam masa terdekat.

"Kita tak akan berikan tekanan buat Azeem, kerana kita akan bentuk dia mengikut perkembangan usia," katanya.

Azeem adalah atlet yang mencatatkan kepantasan 10.63 saat (s) ketika beraksi dalam acara pecut 100 meter (m) Bawah 15 tahun (B-15) pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat itu juga memenangi emas acara lompat jauh lelaki serta 200m dalam masa sama memecahkan rekod kejohanan dalam semua acara dijuarainya.

1529 dibaca
Berita Harian X