Khamis, 2 Mei 2019 | 1:19pm
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) dan pelari terpantas dunia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi. - Foto Azhar Ramli
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) dan pelari terpantas dunia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi. - Foto Azhar Ramli

Jangan ganggu Azeem - Shapawi

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memberi mesej jelas apabila mahu semua pihak memberi ruang kepada atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk mengembangkan bakat mengikut haluannya sendiri buat masa ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata memandangkan usia Azeem yang masih muda, beliau bimbang setiap tindakan yang diambil mampu menjejaskan perkembangannya sebagai atlet.

Malah, beliau juga menegaskan masih terlalu awal untuk melakukan sebarang perancangan terutama menghantar atlet berusia 15 tahun itu menjalani latihan di luar negara.

"Saya bersama menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) sudah berjumpa dengan Azeem dan jurulatihnya. Pandangan kami buat masa ini janganlah diganggu dia dengan pelbagai cadangan dan saranan.

"Biarlah Azeem dengan keselesaan dia bersama jurulatihnya ketika ini. Apa sahaja perancangan atau sokongan yang akan diberikan sebaiknya biarlah dipersetujui oleh semua pihak termasuk Azeem, ibu bapanya, jurulatih dan sekolahnya," kata Shapawi.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B-16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor minggu lalu.

Ia adalah berdasarkan kajian terperinci dilakukan oleh ahli Kesatuan Statistik Balapan dan Padang (ATFS), Jad Adrian Washif.

Justeru, jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim mahu semua pihak berkepentingan termasuk MSN untuk memberi sokongan yang sewajarnya agar tidak menerima nasib yang sama seperti anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan yang kini namanya semakin tenggelam.

Mengulas mengenai perkara itu, Shapawi, berkata apabila tiba masanya, pihaknya memberi jaminan akan memberikan sokongan dan kemudahan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Perak itu.

"MSN akan mengadakan perbincangan lanjut dengan semua pihak tetapi tidak perlu tergesa-gesa sehingga memberi tekanan kepada Azeem dan keluarganya. 

"InsyaAllah, sampai masanya nanti kita akan bersama dengan Azeem. Pada ketika ini kita bersama KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) sudah pun membantu beberapa pertandingan pendedahan buat Azeem termasuk Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019 di Filipina yang lalu.

"MSN menerusi Program Pelapis Negeri akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada Azeem dan jurulatihnya khususnya dalam mewujudkan ruang dan peluang yang terbaik yang dapat kita berikan kepada dirinya ke arah peningkatan bakat, kebajikan dan pendidikan," katanya.

Berita Harian X