Khamis, 2 Mei 2019 | 7:24pm
Muhammad Azeem hendak habiskan PT3 dulu yang akan bermula Oktober ini.
Muhammad Azeem hendak habiskan PT3 dulu yang akan bermula Oktober ini.

Azeem fokus PT3 dulu

KUALA LUMPUR: Sedar akan keprihatinan semua pihak terhadap dirinya dalam bidang sukan apatah lagi dengan kejayaan membanggakan dilakar, Muhammad Azeem Mohd Fahmi akhirnya dilihat memilih jalan sendiri.

Pelajar Sekolah Menengah (SMK) Gunung Rapat, Ipoh, Perak itu menegaskan apa yang bermain di fikirannya ketika ini adalah Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) berbanding menjalani latihan di luar negara.

"Saya tidak ada keputusan lagi mengenai perkara itu (cadangan menjalani latihan di luar negara). Sekarang saya hendak habiskan PT3 dulu yang akan bermula Oktober ini.

"Mungkin selepas itu baru saya akan fikir ... mak ayah pun ada berikan pendapat tetapi segalanya keputusan bergantung kepada diri saya," kata Azeem, 15, ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor minggu lalu. 

Ia adalah berdasarkan kajian terperinci dilakukan ahli Kesatuan Statistik Balapan dan Padang (ATFS), Jad Adrian Washif.

Ekoran itu, timbul pelbagai cadangan dan saranan termasuk menghantar Azeem menjalani latihan di luar negara, namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan ia masih terlalu awal buat atlet berkenaan.

"Kalau saya ke luar negara, macam mana dengan pelajaran. Lagipun peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lagi dua tahun. 

"Selepas PT3, jika keputusan baik, saya mahu teruskan pelajaran dalam aliran Sains. Alhamdulillah saya tiada banyak masalah dalam pelajaran kerana guru-guru banyak membantu.

"Saya tidak rasa apa-apa ketika ini (latihan di luar negara) kerana fokus saya adalah untuk belajar. Kalau daripada segi latihan, saya amat selesa dengan jurulatih ketika ini...saya tak jangka pencapaian saya seperti sekarang," kata Azeem yang berada di kelas pertama daripada tujuh di SMK Gunung Rapat, Ipoh, Perak.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X