Jumaat, 10 Mei 2019 | 10:34am
ELVIN Yap Zhi Xian

Elvin 'jelmaan' Ishtiaq Mubarak

KUALA LUMPUR: Ketika tumpuan terarah kepada Muhammad Azeem Mohd Fahmi, atlet lain yang melakar pencapaian cemerlang pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor, baru-baru ini juga perlu diberikan perhatian.

Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nazmizan Muhammad berkata pencapaian dilakar atlet 110 meter (m) lari berpagar, Elvin Yap Zhi Xian dari Sarawak juga sesuatu yang membanggakan.

Nazmizan berkata, Elvin bukan saja jauh meninggalkan pencabar lain ketika beraksi di final, malah memiliki saiz dan ketinggian yang dilihat mampu untuk melangkah jauh dalam dunia sukan.

"Saya mengikuti keputusan dan pencapaian cemerlang dilakukan oleh atlet-atlet muda di MSSM baru-baru ini. Apa yang saya lihat gaya larian Elvin bukan saja pantas malah dia memiliki ketinggian. 

"Bila saya tengok video di You Tube, gayanya saya nampak seperti Allahyarham Ishtiaq Mubarak (legenda 110m lari berpagar era 1970-an). Larian Elvin menunjukkan dia berada di tahap lain berbanding atlet seusia dengannya," kata Nazmizan.

Berdasarkan carian di laman web rasmi MSSM, Elvin, 15, memenangi pingat emas acara 100m m lari berpagar dengan kepantasan 13.68s dan mencipta rekod baharu kejohanan.

Pelari Johor, Mohamad Haiqal Haqimi Pawzi memenangi perak dengan catatan 14.61s sementara gangsa diraih Safarudin Tajuddin (Sabah), 14.67s.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya, Kuching itu yang memiliki ketinggian 187cm dan berat badan 83 kilogram itu turut memenangi pingat emas acara 200m lari berpagar dengan catatan masa 23.83s yang juga rekod baru kejohanan.

Mengulas lanjut, Nazmizan menjelaskan meskipun pagar untuk kategori lelaki 15 tahun seperti disertai Elvin sedikit rendah berbanding ukuran standard, namun bakat atlet itu boleh digilap untuk peringkat seterusnya.

Katanya, pencapaian dalam acara lain juga perlu dinilai bukan hanya membabitkan acara popular seperti pecut 100m dan 200m lelaki serta wanita.

"Walaupun pagar sedikit rendah tetapi kita perlu memantau perkembangan Elvin. Ini bermakna kita tidak ketandusan atlet berbakat untuk diketengahkan dan dikembangkan mengikut peringkat umur... biar dia mengecapi kejayaan mengikut kematangan usia dan seronok dengan latihan harian.

"Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri Sarawak, Institut Sukan Negara (ISN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) jika mahu lihat bakat dari peringkat akar umbi. 

"Dan bila nampak saja pencapaian luar biasa dari atlet seusia dengannya, kita terus berikan panduan," kata Nazmizan yang turut mencadangkan agar Elvin dipantau dari segi pemakanan dan psikologi supaya mampu menjadi pengganti serta mengisi kekosongan buat skuad utama negara selepas ini. 

1085 dibaca
Berita Harian X