Sabtu, 11 Mei 2019 | 12:23pm
Yuan Yu Fang. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Yufang sokong pilih naturalisasiterbaik

KUALA LUMPUR: Biarpun ia dianggap projek ‘mee segera’ namun bekas atlet naturalisasi negara dalam acara olahraga, Yuan Yu Fang melihat pengambilan lebih ramai atlet luar sebagai jalan terbaik untuk mengatasi prestasi buruk kontinjen negara dalam temasya sukan antarabangsa.

Dia yang berasal dari China sebelum dilamar menyarung jersi Malaysia dalam penyertaan Sukan Komenwel 1998 mengakui bukan mudah untuk mana-mana atlet diberikan kerakyatan melainkan seseorang itu benar-benar hebat.

Berdasarkan pencapaian Yufang dan Hidayat Hamidon dalam acara angkat berat, kehadiran mereka secara tak langsung berjaya mengangkat acara berkenaan menjadi contoh dan ikutan atlet muda.

Bagaimanapun, Yufang menyerahkan kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada mahu melamar atlet luar negara.

“Saya rasa tidak sesuai untuk memberi komen, sebenarnya ia terpulang pada kerajaan.

“Tetapi apa yang penting sekiranya betul hendak memberi kerakyatan, kita kena pastikan atlet kita belajar sesuatu daripada atlet terbabit.

“Kita juga kena pastikan atlet yang diberi kerakyatan itu benar benar bagus,” katanya ketika ditemui bagi mengulas mengenai saranan Malaysia mengambil atlet naturalisasi bagi memperkuatkan kontinjen ke temasya sukan.

“Dahulu saya terima pelawaan mewakili Malaysia bukan kerana wang ringgit. Saya sudi datang kerana mahu meningkatkan peluang saya untuk pergi lebih jauh kerana di China terlalu ramai atlet hingga sukar untuk mewakili negara,” katanya.

Daripada tiga atlet yang diberi taraf kerakyatan sebelum ini, hanya atlet menembak kelahiran Ukraine, Irina Maharani dilihat kurang menjadi dengan dia kini dilaporkan sudah membawa diri ke India. Pada ketika ini Yufang percaya peluang Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan agak sukar.

Bagaimanapun, dia tetap tidak menafikan kemampuan atlet tempatan untuk berjaya di pentas antarabangsa, cumanya sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan atlet kita mendapat pendedahan secukupnya.

“Saya rasa masalah utama atlet kita hari ini adalah mereka susah mendapat rakan sparring yang bagus di samping kurangnya pertandingan bertaraf tinggi di sini.

“Justeru itu, adalah lebih baik sekiranya kita dapat menghantar atlet kita pergi berguru di Eropah atau Amerika Syarikat bagi satu tempoh panjang kerana di sana mereka akan lebih terdedah dengan suasana latihan dan pertandingan yang lebih kompetitif,” katanya. 

Sebagai rekod, Yufang diberi taraf kerakyatan Malaysia sejak 1996 dan pencapaian terbesarnya sepanjang 16 tahun mewakili negara adalah memenangi pingat gangsa Sukan Komanwel 2002 dan pemenang tempat ketiga Kejuaraan Asia 2000 serta 2003.

Berita Harian X