Sabtu, 11 Mei 2019 | 5:33pm
Elvin Yap Zhi Xian

Beri bantuan kepada Elvin

 

KUALA LUMPUR: Jurulatih kepada Elvin Yap Zhi Xian, berharap pihak berkaitan dapat membantu atlet dari Sarawak itu mencapai lebih banyak kejayaan, termasuk menjalani latihan dan pertandingan di luar negara selepas ini.

Rasia Anak Lutang yang juga guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya (sekolah sukan negeri) berkata, ia bagi membolehkan bakat Elvin tidak 'terkubur' begitu saja.

"Harapan saya agar Majlis Sukan Negeri Sarawak, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) dapat memberikan bantuan daripada segi pemakanan, program latihan dan motivasi.

"Mungkin juga boleh membantu saya bagaimana hendak membimbing Elvin pergi lebih jauh. Pendedahan dari segi latihan dan pertandingan di luar negara juga penting agar dia dapat lebih banyak pengalaman," kata Rasia ketika dihubungi.

"Bakat dirinya jangan disia-siakan dan saya juga harap Elvin dapat diserapkan ke skuad pelapis kebangsaan. Saya juga perlukan bantuan untuk menguji Elvin untuk tahu apa kekuatan dan kelemahan yang dia ada, untuk masa akan datang kerana dia masih muda.”

Elvin adalah atlet yang mencuri tumpuan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor apabila jauh meninggalkan pencabar lain seusianya dalam acara 110 meter lari berpagar.

Malah, bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Muhammad menyifatkan gaya larian pelari itu bagaikan Allahyarham Ishtiaq Mubarak, legenda 110m lari berpagar era 1970-an.

"Elvin memang seorang yang berbakat, dia ada saiz dan kepantasan. Saya memang jangka dia dapat memecahkan rekod MSSM.

"Dia seorang atlet yang bagus, mengikut cakap dan rajin menjalani latihan," kata Rasia yang sudah melatih Elvin selama tiga tahun sejak atlet itu di tingkatan satu.

Rasia menjelaskan, ketika di tingkatan satu Elvin adalah atlet acara lompat jauh namun dia bertindak menukarkan pelajar itu ke lari berpagar, memandangkan dia dilihat mampu pergi lebih jauh.

 

 

Berita Harian X