Ahad, 12 Mei 2019 | 5:05pm
Elvin Yap Zhi Xian.

Biar Elvin dalam persekitaran sendiri

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memberi gambaran jelas bahawa pihaknya tidak akan mensia-siakan bakat muda yang ada di negara ini, termasuklah atlet 110 meter (m) lari berpagar, Elvin Yap Zhi Xian.

Elvin dari Sarawak yang baru berusia 15 tahun menampilkan larian 'memukau' penonton apabila jauh meninggalkan pencabar lain seusia dengannya ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor, baru-baru ini.

Justeru, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut memohon agar atlet itu tidak diganggu bagi membolehkan bakatnya berkembang mengikut arus semasa.

"Alhamdulillah, ada satu lagi calon (untuk mengisi skuad pelapis kebangsaan). Tapi saya mohon agar Elvin tidak diganggu, biar dia di dalam persekitaran sendiri.

"Insya-Allah jika dia berbakat, kita akan ambil juga satu hari nanti," kata Shapawi secara ringkas ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Semalam media melaporkan jurulatih kepada Elvin, Rasia Lutang berharap agar anak didiknya itu disenaraikan ke dalam skuad pelapis kebangsaan agar bakatnya tidak terkubur, selain program latihan, pemakanan dan motivasi.

Elvin yang memiliki ketinggian 187 sentimeter dan berat badan 83 kilogram itu sebelum ini adalah atlet lompat jauh namun jurulatihnya bertindak menukarnya memandangkan memilki potensi serta mampu pergi jauh dalam acara lari berpagar.

Kehebatan Elvin di trek turut mendapat perhatian bekas raja pecut negara, Nazmizan Muhammad yang menyifatkan gaya larian pelari itu bagaikan Allahyarham Ishtiaq Mubarak, legenda 110m lari berpagar negara.

596 dibaca
Berita Harian X