Ahad, 26 Mei 2019 | 2:10pm
GAMBAR fail, Jackie Wong Siew Cheer ketika beraksi dalam acara baling tukul besi lelaki di Cararra Stadium sempena Sukan Komanwel 2018. - Foto Yazit Razali

Jackie Wong belum puas catatan 65.40 meter

KUALA LUMPUR: Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer mengakui dirinya masih belum puas dengan jarak balingan 65.40 meter (m) dicipta di Kejohanan Olahraga Terbuka 2019, semalam (Sabtu) meskipun meraih pingat gangsa.

Jackie bagaimanapun sedar prestasinya sedikit menurun selepas mencatatkan balingan sejauh 67.01m di Kejohanan Olahraga Asia di Doha Qatar, bulan lalu, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya.

"Memang prestasi saya sedikit menurun sebab sudah mencapai kemuncak prestasi di Doha bulan lalu. Tapi saya percaya beberapa bulan ini selepas ini, prestasi saya akan mencapai tahap yang lebih tinggi.

"Tapi saya anggap naik turun prestasi ini sebagai satu perkara normal. Saya sasarkan untuk membuat balingan melebihi 66m di Taiwan namun ia tidak berjaya, nampaknya masih ada banyak kelemahan perlu dibaiki," kata Jackie kepada BH. 

Terdahulu, Jackie memenangi pingat gangsa di Terbuka Taiwan selepas membuat balingan sejauh 65.40m pada percubaan ketiga. Emas dan perak masing-masing milik atlet Jepun iaitu Ryota Kashimura dengan balingan 68.00m serta Kunihiro Sumi (65.53m). 

Mengulas lanjut, Jackie yang kini berusia 27 tahun berkata selepas ini dia dijadual menyertai Terbuka Korea, namun tumpuannya lebih terarah kepada temasya Sukan SEA Filipina yang akan bermula pada 30 November nanti.

Begitupun, Jackie menjelaskan dia perlu memberikan tumpuan terhadap balingan diri sendiri selain gigih menjalani latihan kerana dia menjangkakan bakal mendapat tetangan sengit dari atlet Thailand serta Filipina.

"Tumpuan saya adalah Sukan SEA Filipina kerana sasaran saya adalah mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selain memperbaharui rekod Sukan SEA milik saya.

"Saya yakin mampu melakukannya dan saya sasarkan untuk membuat balingan melebihi 67m," kata Jackie.

Di KL2017, Jackie memperbaharui rekod Sukan SEA dan rekod kebangsaan miliknya sendiri selepas melakukan balingan sejauh 65.90m selain turut memenangi pingat emas buat kontinjen negara.

500 dibaca
Berita Harian X