Isnin, 27 Mei 2019 | 10:03pm
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail bercakap kepada media selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bil 2/2019 untuk sukan olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN). - NSTP/Aswadi Alias

MSN setuju calonkan Miller jurulatih pecut

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju menerima cadangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menyenaraikan Dwayne I Miller dari Amerika Syarikat sebagai calon ketua jurulatih pecut.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata KOM memberikan amanah kepada pihaknya untuk menguruskan perkara berkenaan, namun pengumuman secara rasmi akan dibuat selepas ini.

“MSN akan menghubungi jurulatih berkenaan untuk meninjau pasaran yang ada dan membincangkan sekiranya beliau menerima tawaran dan syarat-syarat ditetapkan. Isu berkaitan gaji kita akan bincangkan nanti bila beliau telah bersetuju.

“Tugas beliau sebagai ketua jurulatih dan beberapa jurulatih pecut lain akan berada dibawahnya,” kata Ahmad Shapawi selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bil 2/2019 untuk sukan olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini, hari ini.

“Ini kerja berpasukan (teamwork) antara ketua jurulatih, jurulatih dan juga atlet sendiri. Mereka perlu serasi menjayakan program yang bermutu dan menggilap bakat atlet pecut kita.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi turut memaklumkan bekas atlet olahraga kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar turut dilantik sebagai penyelaras program jurulatih di bawah KOM.

Dalam pada itu, Karim berharap kehadiran jurulatih dari luar negara dapat memberikan manfaat kepada semua pihak termasuklah atlet itu sendiri.

“Saya tidak ada masalah dan kalau MSN ada jurulatih yang bagus saya ambil juga asalkan atlet dapat manfaat daripadanya. Kita sekarang ada ramai atlet pecut, saya tidak pernah tengok bilangan macam ini sebelum ini. Jadi KOM kena jaga mereka.

“Yang penting atlet kita kena menerima latihan bahawa latihan itu bukan mudah. Kalau Lalu Muhammad Zohri boleh buat pencapaian hebat, apa salahnya kita?Kenapa kita tak boleh buat macam itu?,” kata Karim.

Berita Harian X