Selasa, 28 Mei 2019 | 8:54pm
Hasrat Muhammad Irfan untuk menjalani latihan di luar negara terus menjadi tanda tanya. - Arkib NSTP

Nasib Irfan masih jadi tanda tanya

KUALA LUMPUR: Hasrat Muhammad Irfan Shamsuddin untuk menjalani latihan di luar negara terus menjadi tanda tanya apabila Majlis Sukan Negara (MSN) mengakui masih dalam peringkat perbincangan mengenainya.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, selepas kegagalan di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Doha Qatar, baru-baru ini, Irfan ada membuat permohonan seterusnya untuk menjalani latihan di luar negara.

"Fasa pertama kita sudah membantu walaupun pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tak berapa setuju, namun kita tetap memberikan bantuan bagi membolehkan beliau mendapat pingat di ATF, tapi beliau gagal.

"Begitu juga Nauraj (Singh Randhawa), kita ada bantu tapi juga gagal," kata Shapawi ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja Sukan Olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini.

"Ekoran kegagalan itu, beliau memohon lagi satu proses untuk berlatih di luar negara dengan kos yang berlainan dan itu masih dalam peringkat mengkaji dan berbincang.

"Jadi kita tidak membuat apa-apa keputusan mengenai perkara itu dan itu adalah program mereka sendiri.”

Terdahulu, media melaporkan MSN seolah-olah tidak tahu di mana untuk 'menyorok muka' selepas Irfan tersingkir dan gagal menghabiskan enam balingan pada aksi ATF di Doha, Qatar.

Penyenaraian bekas pemenang pingat perak dua tahun lalu di Bhubaneswar, India, itu turut dipersoalkan selepas tidak mempunyai rekod prestasi selepas berlatih di Prague, Republik Czech namun MSN tetap menyenaraikannya. 

Irfan hanya dapat membuat tiga balingan dengan jarak paling jauh adalah 55.18 meter (m) yang dicatatkan pada balingan terakhir berbanding 60.96m ketika meraih perak di India.

KOM sebelum ini turut menyatakan ia misi mustahil buat Irfan memenangi pingat di Doha apatah lagi pencapaiannya tahun ini tidak dimaklumkan kepada badan induk berkenaan.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin juga turut menegaskan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan lebih lanjut mengenai keperluan Irfan menjalani latihan di luar negara selepas ini. 

Jefri menegaskan, ia perlu disemak memandangkan ada atlet yang menjalani latihan di Malaysia tetapi dapat menghasilkan keputusan lebih baik.

487 dibaca
Berita Harian X