Selasa, 28 Mei 2019 | 8:59pm
Zulfiqar menang pingat perak dalam acara akhir 100m dengan catatan 10.41 pada GP Terbuka Malaysia Pertama 2019 di Bukit Jalil, Mac lalu. - Arkib NSTP

Terserah kepada Poad

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan, Muhammad Zulfiqar Ismail enggan membuat keputusan sendiri walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju dengan cadangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikan Dwayne I Miller dari Amerika Syarikat (AS) sebagai calon ketua jurulatih pecut negara.

Zulfiqar berpendapat, dia perlu berbincang bersama pengendalinya ketika ini iaitu Mohd Poad Md Kassim andai KOM mahu jurulatih tempatan melepaskan atlet kepada jurulatih dari AS itu.

"Saya kena bincang dengan 'coach' Poad, kalau dia OK, boleh gabung, boleh ikut program (jurulatih luar negara), saya akan ikut.

"Tapi apa pun saya perlu rujuk kepada 'coach' Poad dulu. Bagi saya, program sukar untuk ditukar dalam jangka masa terdekat, takut kalau tukar prestasi akan menurun," kata Zulfiqar kepada BH Sukan, hari ini.

Semalam media melaporkan MSN bersetuju dengan cadangan KOM menyenaraikan Miller dari AS sebagai calon ketua jurulatih pecut. 

Susulan itu, KOM menegaskan pihaknya mahu jurulatih itu melepaskan atlet masing-masing kerana mereka bukan milik sesiapa, sebaliknya milik negara.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim dalam masa sama turut membidas Mohd Poad kerana tidak yakin kontinjen negara mampu mempertahankan pingat emas acara 100 meter pada temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Katanya, kenyataan terbabit tidak sewajarnya dikeluarkan jurulatih olahraga berkenaan kerana ia boleh melemahkan semangat atlet di bawah kendaliannya.

Mohd Poad ketika dihubungi hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Berita Harian X