Selasa, 11 Jun 2019 | 6:22pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menunjukkan senarai empat acara Sukan SEA Ke-30 yang dipinda mengejut oleh Filipina di Wisma MOM. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Malaysia bakal hilang satu emas Sukan SEA Filipina

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal kehilangan satu prospek pingat emas pada temasya Sukan SEA Filipina 2019 selepas tuan rumah menggugurkan acara renang terbuka lelaki dan sebaliknya mengantikannya dengan kategori wanita.

Perkembangan itu diumumkan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sambil menyatakan tindakan penganjur itu mendapat bantahan daripada beberapa negara peserta.

Malaysia adalah penyandang juara bagi acara berkenaan ketika temasya berlangsung di ibu negara dua tahun lalu.

“Kami baru menerima surat daripada Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) dan akan mengadakan perbincangan dengan NSA (persatuan sukan kebangsaan), kemudian maklum balas akan diberikan selepas itu.

“Untuk sukan akuatik, kita dapat tahu yang ada beberapa negara akan menghantar protes, namun apa pun kita akan berbincang dengan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengenai perkara ini.

“Ini kerana ia adalah perubahan saat akhir yang turut membabitkan persediaan atlet sedia ada,” kata Norza pada sidang media selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif OCM di sini, hari ini.

Pada temasya Kuala Lumpur 2017 (KL2017), kontinjen negara memenangi renang terbuka 10 kilometer menerusi Kevin Yeap Soon Choy dan Heidi Gan yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya.

Norza berkata selain sukan akuatik, empat sukan lain turut menghadapi masalah sama iaitu e-sukan, polo dan kanu.

Katanya, bagi e-sukan, acara NBA 2k19 digugurkan dan akan digantikan dengan Hearthstone manakala polo yang sebelum ini mempertandingkan Divisyen B 4 hingga 6 gol, digantikan kepada 4 hingga 7 gol.

“Bagi sukan kanu pula, acara perseorangan 1,000 meter (m) lelaki akan menggantikan acara kayak perseorangan 1,000m lelaki,” katanya.

Sebelum ini, kontinjen Malaysia sah kehilangan 70 pingat emas iaitu separuh daripada pungutan ketika muncul juara KL2017, berikutan beberapa sukan yang menjadi lubuk emas negara tidak dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu di Filipina.

Sukan SEA Filipina 2019 dijadual berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini.

703 dibaca
Berita Harian X