Selasa, 11 Jun 2019 | 6:24pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (tengah) mempengerusikan mesyuarat eksekutif MOM di Kuala Lumpur. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

MOM cadang wujud jawatankuasa pengurusan krisis

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bakal menubuhkan jawatankuasa pengurusan krisis dalam tempoh terdekat bagi membantu menangani sebarang masalah yang dihadapi kepimpinan persatuan sukan kebangsaan (NSA).

Mengesahkan perkembangan itu, Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata cadangan itu timbul susulan kemelut yang dihadapi oleh Persekutuan Karate Do Malaysia (MAKAF) ketika ini.

Katanya, cadangan itu mendapat sokongan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr Waitchalla R R V Suppiah selain Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

“Sudah tentu kita bimbang dengan apa yang berlaku namun kita anggap perkara ini perlu diselesaikan di peringkat dalaman,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini, hari ini.

“Jadi, saya mencadangkan untuk ada (diwujudkan) satu jawatankuasa pengurusan krisis yang membabitkan MOM dan KBS. Bila bercakap pasal KBS tentu saja Pesuruhjaya Sukan (PJS).

“Kita sudah berbincang mengenai perkara itu dan kita semua telah bersetuju bahawa perkara itu (jawatankuasa) perlu kita laksanakan. Datuk Nazifuddin Najib akan berhubung dengan mereka. Kita yang akan wujudkan jawatankuasa itu dalam masa terdekat,” .

Norza berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemelut melanda MAKAF ketika ini yang menyaksikan 12 ahli gabungan badan itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa di Ipoh minggu lalu bagi mengusulkan undi tidak percaya kepada kepimpinan jawatankuasa sedia ada diterajui Tan Sri Mohd Ali Rustam.

62 dibaca
Berita Harian X