Selasa, 18 Jun 2019 | 10:38pm
AZEEM menjalani ujian sains sukan di ISN. - Foto ihsan ISN
AZEEM menjalani ujian sains sukan di ISN. - Foto ihsan ISN
AZEEM menjalani ujian sains sukan di ISN. - Foto ihsan ISN
AZEEM menjalani ujian sains sukan di ISN. - Foto ihsan ISN

ISN uji Azeem

KUALA LUMPUR: Perkembangan permata baharu olahraga, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus dipantau pihak berkaitan malah Institut Sukan Negara (ISN) sudah menjalankan ujian bagi menguji tahap sebenar atlet berkenaan.

Muhammad Azeem yang kini berusia 15 tahun menjalani Program Sains Sukan Khas selama sehari dan dipantau oleh Ketua Pusat, Sukan Kekuatan dan Daya Tahan ISN, Jad Adrian Washif, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, saintis ISN sudah mengadakan ujian sains sukan terhadap pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh Perak itu dan pihaknya akan terus memantau perkembangan atlet berkenaan.

"Berdasarkan keputusan serta hasil ujian sains sukan yang dilaksanakan, saintis sukan ISN akan menganalisis data-data ujian terlebih dulu. 

"Langkah seterusnya adalah berbincang dengan jurulatih Azeem mengenai hasil analisa bagi meningkatkan pemahaman secara saintifik akan keadaan fizikal, tahap prestasi serta potensi sebenar Azeem," kata Faedzal.

Faedzal menjelaskan langkah itu penting bagi membolehkan jurulatih membuat penyesuaian atau penambahbaikan terhadap elemen dan program latihan Azeem. 

Katanya, ISN akan terus memantau dan menyokong perkembangan Azeem, sekali gus menyeru sokongan semua pihak selain mengharapkan komunikasi berterusan dibina antara Azeem dan jurulatih bersama saintis sukan di ISN.

Pencapaian Azeem yang mencatat 21.24 saat dalam acara 200m Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Johor, April lalu meletakkannya sebagai pelari bawah usia 16 tahun terpantas dunia ketika itu dan terbaik sepanjang zaman dalam kategori usia 14 tahun.

Berita Harian X