Selasa, 18 Jun 2019 | 10:44pm

Mumtaz sedia dicabar Shahidan

KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Paduka Mumtaz Jaafar sedikit pun tidak gerun dengan kemunculan Datuk Seri Shahidan Kassim yang mencabarnya untuk kedudukan nombor dua badan induk berkenaan.

Mumtaz yakin bakal mendapat sokongan perwakilan malah sudah menyatakan kesediaan bagi membantu Presiden mentadbir KOM, meskipun nama Shahidan bukannya asing dalam kancah politik dan sukan negara.

"Saya bukannya orang baru malah saya juga adalah Naib Presiden KOM melebihi tiga penggal,” kata Mumtaz.

"Saya bersedia bertanding, Insya-Allah saya akan mendapat sokongan... saya berusaha dari bawah dan perkara lain saya serahkan kepada perwakilan. Apa pun saya bersedia untuk berkhidmat kepada KOM." 

Selain bergelar Naib Presiden KOM, Mumtaz yang juga legenda olahraga negara adalah penyelaras program jurulatih di bawah KOM, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan bekas Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Ketika bergelar atlet, Mumtaz pernah memenangi pingat emas buat Malaysia menerusi acara pecut 100 meter wanita di temasya Sukan SEA Manila 1981.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM yang dijadual berlangsung pada 30 Jun ini akan menyaksikan pertembungan dua penjuru bagi jawatan Presiden antara Datuk Karim Ibrahim dan Datuk S M Muthu.

Jawatan Timbalan Presiden turut mencuri tumpuan apabila wujud pertandingan antara dua nama besar dalam kancah olahraga negara membabitkan Mumtaz dan Shahidan.

331 dibaca
Berita Harian X