Rabu, 19 Jun 2019 | 6:19pm
Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). - NSTP/Mahzir Mat Isa

Shahidan tanding KOM kerana sokong perubahan

KUALA LUMPUR: "Tiada apa yang boleh dikomen, kita lawan saja ... bila sampai masa kita lawan.

“Yang paling penting, banyak pihak datang berjumpa saya dan saya pun mengisi borang. Saya sokong kepada perubahan. Bila jawatankuasa berhenti, maka kita pilih baru, lakukan sedikit perubahan,” .

Demikian kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim apabila diminta mengulas mengenai keputusannya bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada pemilihan kepimpinan badan induk pada hujung bulan ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau sebelum ini pernah menerajui KOM pada 2006 hingga 2012.

Pada pemilihan jawatan nombor dua itu dijadual 30 Jun ini, beliau akan berentap dengan lagenda olahraga negara, Datuk Mumtaz Jaafar.

Nama Shahidan dalam bidang sukan tidak asing lagi di negara ini. Ketika ini beliau adalah Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Presiden Persatuan Renang Amatur Perlis.

Selain timbalan, jawatan presiden KOM turut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya, Datuk Karim Ibrahim dan timbalannya, Datuk S M Muthu sempena mesyuarat agung tahunan itu.

313 dibaca
Berita Harian X