Jumaat, 21 Jun 2019 | 1:49am
BEKAS atlet negara, Nazmizan Muhammad.

Usah cemari pemilihan KOM hujung bulan ini

KUALA LUMPUR: Bekas atlet negara, Nazmizan Muhammad mendesak supaya mesyuarat agung tahunan (AGM) Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang dijadualkan pada 30 Jun ini bebas daripada sebarang unsur penipuan.

Katanya, setiap perwakilan harus memainkan peranan dan berfikir secara bijak bagi memilih individu yang berintegriti serta mampu melakukan perubahan.

"Kita mahu ketelusan dalam pemilihan. Bagi saya siapa pun yang menang, yang pegang jawatan selepas ini haruslah melakukan pembaharuan dalam KOM.

"Untuk mengundi juga kita harus lihat sejauh mana kekuatan calon dan bukannya atas dasar politik. Apa yang penting adalah tadbir urus KOM dan bagaimana hendak menarik penaja masuk," kata Nazmizan yang juga Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kepada BH.

"Saya harap perubahan drastik dari peringkat akar umbi lagi dalam KOM ... tengok macam persatuan lain, memanah sudah memenangi gelaran dunia (Kejohanan Memanah Dunia 2019 di Belanda).

Selain pembaharuan, Nazmizan turut menuntut agar KOM mampu mencari dana dan berdiri sendiri agar dapat membantu pembangunan atlet, bukan saja di peringkat kebangsaan tetapi juga membabitkan negeri.

AGM KOM hujung bulan ini tampak 'panas' membabitkan jawatan presiden apabila penyandangnya, Datuk Karim Ibrahim dicabar timbalannya, Datuk S M Muthu.

Perebutan kerusi timbalan presiden kali ini juga sengit apabila menyaksikan pertembungan antara ahli politik berpengaruh, Datuk Seri Shahidan Kassim dan lagenda olahraga negara, Datuk Mumtaz Jaafar.

438 dibaca
Berita Harian X