Sabtu, 29 Jun 2019 | 7:23pm
Datuk SM Muthu.

SM Muthu tak goyah tanpa Shahidan

KUALA LUMPUR: Calon Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu langsung tidak goyah meskipun 'orang kanannya' Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menarik diri menjelang mesyuarat agung tahunan badan induk itu, esok.

Keputusan saat akhir Shahidan menarik diri hanya 24 jam sebelum AGM mengambil tempat di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), esok membolehkan bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar menang tanpa bertanding.

Namun, Muthu tetap percaya peluang lebih cerah dimilikinya berbanding penyandang presiden, Datuk Karim Ibrahim yang dianggap 'sudah lapuk'.

"Peluang agak baik untuk saya menang apatah lagi saya berjaya meyakinkan ahli gabungan bahawa satu pembaharuan akan dibawa.

"Ramai yang sudah menyatakan pandangan mereka mahukan pembaharuan. Malah, saya yakin 75 peratus daripada 39 perwakilan menyokong untuk membawa pembaharuan," katanya

Pada pemilihan berkenaan, Muthu bakal mencabar 'bosnya' sendiri Karim yang sudah menjadi Presiden KOM selama dua penggal sejak 2014 bersamanya.

Seramai 39 perwakilan daripada 13 anggota gabungan layak mengundi pada pemilihan badan induk itu.

Untuk rekod, Karim dipilih sebagai presiden buat kali pertama pada penggal 2014-2016 apabila menang dengan majoriti besar menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh, sebelum mengekalkan tanpa bertanding selepas itu.

Mengulas mengenai penarikan diri Shahidan, Muthu percaya keputusan itu dibuat atas dasar profesional.

"Beliau menyokong saya sepenuhnya, lagipun beliau adalah mantas presiden untuk tiga penggal.

"Jadi adalah tidak sesuai untuk beliau bertanding jawatan timbalan presiden selepas memikirkannya," katanya yang turut membayangkan perkara itu dilakukan hasil perbincangan 'pintu belakang' dengan Mumtaz.

444 dibaca
Berita Harian X