Ahad, 30 Jun 2019 | 1:40pm

SM Muthu kini terajui KOM

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerima peneraju baharu apabila Datuk SM Muthu dipilih selaku presiden baharu selepas mengatasi bekas penyandang, Datuk Karim Ibrahim pada Pemilihan Mesyuarat Agung (AGM) sebentar tadi.

Muthu yang juga Presiden Persatuan Olahraga Selangor memperoleh 21 undi manakala, Karim pula mendapat 18 undi dalam pemilihan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sementara itu, bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas Datuk Seri Shahidan Kassim menarik diri, 24 jam sebelum AGM berlangsung.

Untuk rekod, sebelum ini Karim dipilih sebagai presiden buat kali pertama pada penggal 2014-2016 apabila menang dengan majoriti besar menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh, sebelum mengekalkan jawatan tanpa bertanding selepas penggal itu.

Empat jawatan Naib Presiden masing-masing diisi Mark William Ling, Rajemah Sheikh Ahmad, Fadzil A Bakar dan Josephine Kang.

Datuk SM Muthu (kiri) dan Datuk Karim Ibrahim. - Foto NSTP
Berita Harian X