Ahad, 30 Jun 2019 | 6:54pm
Datuk SM Muthu.

Jurulatih baharu, tambah atlet agenda Muthu

KUALA LUMPUR: Presiden baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu berkata agenda pertama yang akan dilakukan ialah membawa masuk jurulatih baharu dan menambah jumlah atlet ke Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Gerak kerja ke arah itu akan terus dilaksanakan Muthu yang mengisi kerusi nombor satu badan induk itu selepas menewaskan bekas presiden, Datuk Karim Ibrahim pada Pemilihan Mesyuarat Agung (AGM) kali ke-16 hari ini.

Muthu akan memberi keutamaan kepada jurulatih tempatan dan sudah mengenalpasti beberapa calon yang dianggap sesuai termasuk bekas pengendali, Harun Rasheed.

"Kita mahu lebih ramai atlet mengambil bahagian di Sukan SEA Manila dan kita juga akan bawa jurulatih baharu. Dalam seminggu ini kita akan cadangkan dan kita sudah kenal pasti,” kata Muthu.

"Ia membabitkan apa juga acara, trek mahu pun padang. Kita akan bincang dan mungkin kita akan bawa. Sekali pun kita mahu jurulatih berpengalaman, keutamaan kita adalah jurulatih tempatan."

Pada AGM berkenaan, Muthu meraih kemenangan dengan kelebihan tiga undi selepas mendapat 21 undi, manakala Karim 18. 

Timbalan Presiden pula disandang bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar yang menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas Datuk Seri Shahidan Kassim menarik diri, 24 jam sebelum AGM berlangsung. 

Empat jawatan naib presiden diisi Mark William Ling, Rajemah Sheikh Ahmad, Fadzil A Bakar dan Josephine Kang.

Muthu yang menjangkakan kemenangan itu berkata, pihaknya juga akan menggerakkan kerja mencari dana bagi merealisasikan setiap perancangan.

"Daripada senarai baharu ini, mereka sangat berpengalaman dalam sukan. Jadi kami akan buat yang lebih baik berbanding apa pengurusan lama lakukan," katanya.

Berita Harian X