Isnin, 1 Julai 2019 | 7:56pm
Bekas pengendali skuad olahraga kebangsaan, Harun Rasheed.

Harun perlu dapat pelepasan IAAF

 

KUALA LUMPUR: Bekas pengendali skuad olahraga kebangsaan, Harun Rasheed mengakui belum bersedia kembali dalam kancah kejurulatihan negara dalam masa terdekat.

Ini kerana dia memerlukan pelepasan daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) berikutan penggantungan selama 10 tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sejak 12 September 2011.

Begitupun Harun berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat menyokong hasratnya mengemukakan rayuan kepada IAAF jika badan itu benar-benar berhasrat mendapatkan kembali khidmatnya.

"Buat masa ini saya belum bersedia lagi kerana memerlukan masa memikirkan mengenai hal ini. Saya akan tolong tapi bukan sekarang, lagipun tempoh penggantungan sudah hampir tamat.

"Saya akan buat surat rayuan kepada IAAF dan perlu melalui KOM. Jika KOM menyokong saya, maka badan induk itu yang akan memanjangkan hasrat saya kepada IAAF," kata Harun kepada BH Sukan.

Harun yang juga bekas ketua jurulatih negara dilaporkan dipalit kontroversi bersama bekas Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim pada 2011 apabila didakwa menjadi dalang berhubung isu enam atlet melarikan diri daripada menjalani ujian doping.  

Ekoran itu, Harun digantung 10 tahun oleh CAS pada 2011.

Ditanya sekiranya IAAF tidak menerima rayuan daripada pihaknya, Harun yang juga bekas atlet kebangsaan menjelaskan, dia perlu menanti hingga hukuman tamat.

"Saya tak mahu menimbulkan masalah. Jika IAAF menolak, maka saya akan tunggu hingga hukuman tamat. Selepas itu barulah saya boleh kembali mengajar dan menjadi jurulatih," katanya.

"Terima kasih kepada Datuk SM Muthu, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar yang memberi kepercayaan kepada saya untuk kembali ke arena olahraga.”

236 dibaca
Berita Harian X