Isnin, 1 Julai 2019 | 8:52pm
Ketua jurulatih olahraga para negara, R Jeganathan.

'Jangan pula susahkan atlet para'

 

KUALA LUMPUR: "Jangan disebabkan mereka, kami pula terkorban."

Itu kata-kata yang keluar daripada mulut ketua jurulatih olahraga para negara, R Jeganathan berhubung kontroversi menimpa Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) ketika ini.

Ia susulan kegagalan badan induk itu menangani beberapa isu panas sehingga menyebabkan pemilihan Mesyuarat Agung Tahunannya terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh akan diberitahu kelak.

Namun, bagi Jeganathan apa yang membimbangkannya adalah sekiranya perkara itu diheret ke peringkat Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC).

"Kami tidak rela sekiranya program persiapan atlet para negara terjejas berikutan isu yang menimpa pemilihan MPM," katanya.

"Sebab saya dengar ura-ura perkara ini mungkin dipanjangkan sampai ke IPC yang mana ia boleh menjejaskan persiapan kami.

"Pada November depan bakal berlangsung Kejuaraan Olahraga Para Dunia di Dubai dan saya bimbang budak-budak saya tidak dapat menyertainya pula."

Kebimbangan jurulatih kepada jaguh para negara, Ridzuan Puzi itu ada benarnya memandangkan ada cadangan untuk membawa isu berkenaan ke pengetahuan IPC.

Drama MPM terjadi ekoran keputusan calon presiden, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mempertikaikan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pencalonannya dipertikai kerana dikatakan dihantar selepas tamat tempoh sah bagi menyerahkan borang sebelum 15 Jun lalu.

"Sepatutnya mereka perlu duduk berbincang elok-elok dan selesaikan isu ini secepat mungkin," tegas Jeganathan.

Berita Harian X