Isnin, 1 Julai 2019 | 10:14pm
Bekas ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Zainal Abas letak jawatan

 

KUALA LUMPUR: Selepas mencurahkan bakti lebih tiga tahun dalam kancah sukan negara, Zainal Abas akhirnya meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih olahraga kebangsaan.

Menerusi surat rasmi dikeluarkan, Zainal berkata peletakan jawatan itu bagi membolehkan dirinya memberi sepenuh tumpuan selaku Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan (KPM).

“Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Berbahagia Datuk 

atas pelantikan selaku Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang baharu. 

“Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada KOM atas kepercayaan diberikan kepada saya selama lebih tiga tahun menyandang jawatan Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan.

“Adalah dengan ini saya ingin memaklumkan pihak Datuk dan KOM bahawa saya dengan ini meletak jawatan selaku Ketua Jurulatih Kebangsaan berkuatkuasa 1 Julai 2019,” kata Zainal.

Menerusi surat berkenaan, Zainal berkata sepanjang lebih tiga tahun menjawat jawatan Ketua Jurulatih Kebangsaan, beliau cukup berbangga dengan kejayaan atlet olahraga kebangsaan yang berjaya memperbaharui rekod Kebangsaan sebanyak 37 kali membabitkan 17 acara.

Zainal menjelaskan, ia lebih manis apabila tiga rekod Sukan SEA berjaya diperbaharui dan 1 disamai

oleh empat orang atlet di temasya Sukan SEA lalu, sekaligus mengembalikan maruah olahraga di persada Asia Tenggara.

“Kecemerlangan atlet diteruskan di Sukan Komonwel Gold Coast 2018 dengan Zaidatul Husniah Zulkefli menjadi atlet wanita kedua dalam sejarah olahraga Malaysia layak ke separuh akhir Sukan Komonwel selepas G Shanti pada 1998. 

“Zaidatul Husniah turut cemerlang di Sukan Asia 2018 dengan dia menjadi atlet wanita kedua dalam sejarah olahraga Malaysia layak ke acara akhir 100m Sukan Asia selepas G Shanti, juga pada tahun 1998,” kata Zainal.

Zainal berkata, kuartet 4x100m lelaki turut menyerlah di Gold Coast, Australia apabila mencipta 

sejarah menjadi kuartet lelaki pertama negara berjaya layak ke final acara berkenaan.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua atlet yang menunjukkan kesungguhan dan kecekalan dalam mengapai impian mereka. 

“Teruskan usaha anda dan saya pasti kejayaan diimpikan akan menjadi kenyataan. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada rakan jurulatih yang banyak memberikan kerjasama dalam 

merangka dan mengendali program latihan atlet tanpa mengenal erti penat. 

“Hanya ALLAH yang mampu membalas jasa anda,” katanya. 

Berita Harian X