Rabu, 3 Julai 2019 | 8:02pm
DATUK SM Muthu.

Muthu yakin olahraga akan baiki prestasi di Filipina

 

KUALA LUMPUR: Baharu saja dilantik selaku Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Ahad lalu, Datuk SM Muthu tetap yakin skuad olahraga negara bakal membaiki pencapaian Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur apabila temasya edisi ke-30 akan berlangsung di Filipina November ini.

"Saya yakin atlet olahraga kita akan mencapai keputusan lebih baik berbanding temasya edisi terdahulu. Atlet ini kebanyakannya adalah atlet berpengalaman dan saya yakin mereka mampu mempamerkan persembahan baik," katanya kepada BH Sukan, di sini, hari ini.

Ketika ditanya perancangannya selepas ini, Muthu berkata beliau masih tidak dapat menyatakan perancangannya kerana menunggu mesyuarat bersama Lembaga Majlis KOM dan pengurusan.

"Pada saat ini terlalu awal untuk menyatakan perancangan bakal dibuat kerana fokus kita adalah bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina nanti," katanya.

Muthu yang menewaskan Datuk Karim Ibrahim dengan kelebihan tiga undi berkata, perancangan sudah dilakukan dalam kepimpinan terdahulu bakal diteruskan dan akan membaiki kelemahan yang ada menerusi mesyuarat itu nanti.

Beliau berkata, kepimpinan baharu KOM juga bakal mengadakan kunjungan hormat bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga pelbagai pihak berkepentingan dalam masa terdekat.

Pada Sukan SEA dua tahun lalu di Kuala Lumpur, kontinjen olahraga negara membaiki pencapaian apabila berada di tempat ketiga di belakang Vietnam dan Thailand dengan mengumpul lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

 

 

Berita Harian X